Kenyataan Najib bahawa BN tidak akan laksanakan hukum hudud menggambarkan beberapa perkara:
-Aqidahnya sebagai seorang Islam boleh diragui darjah keimanannya.
-UMNO sebagai tunggak parti pemerintah memang tidak boleh diharap
langsung menjaga Islam dan memartabatkan Islam di tempat yang sebenar.
-Kejahilan pemimpin UMNO terhadap hukum Islam sangat ketara.
Kewujudan penasihat agama PM, beberapa institusi Islam seperti IKIM,
YADIM, JAKIM dan golongan agamawan dalam UMNO tidak memberi kesan
positif kepada cara berfikir dan kefahaman Islam sebenar kepada pemimpin
UMNO.
-BN lebih rela negara disuburkan dengan jenayah di bawah pemerintahannya.
Jenayah di Malaysia sekarang begitu dahsyat. Bukan lagi jenayah yang
ringan, tetapi jenayah berat yang seolah-olah menjadi bahan bacaan
harian.
Bagi saya jenayah tidak dapat diturunkan kadarnya atau diatasi
melainkan dengan kembali kepada kaedah terbaik mengatasi jenayah itu.
Tidak lain melainkan kembali kepada hukum Allah yang antaranya hudud,
qisas dan takzir. Hakikat sebenarnya Hudud itu adalah salah satu hukum
Allah yang wajib dilaksanakan. Seperti kita meyakini solat, puasa,
zakat, haji itu sebagai hukum Allah yang wajib diimani dan wajib
dilaksanakan, maka demikianlah hukum hudud.
Ucapan TG Nik Aziz di Hari Hududillah Perundangan Islam: Utamakan Mencegah (3)
Ini bukan soal politik semata-mata. Bukan soal siapa yang menerima
hudud atau menolak hudud. Ini soal keselamatan dan kestabilan negara.
Bagaimana negara boleh aman dan stabil kalau jenayah menjadi begitu
mengganas dan berleluasa.
Dalam ayat 186 surah al-Baqarah, Allah menyebut tentang kefardhuan
puasa. Beberapa ayat sebelum itu Allah menyebut dengan seruan sama
kepada orang beriman, dan dengan lafaz yang hampir sama dengan puasa,
tetapi kefardhuannya ialah Qisas-pembalasan setimpal terhadap jenayah
yang dilakukan.
Di Malaysia, sistem kewangan Islam berkembang dengan baik. Di celah
sistem kapitalis yang begitu dominan, beberapa aspek kewangan Islam
boleh menumpang dan menyelit sama. Bahkan mendapat sambutan dari banyak
institusi kewangan konvensional pula.
Kita tidak pula mengatakan sistem kewangan Islam itu lapuk atau hanya
slogan. Sistem jenayah pula yang meliputi hukum hudud, takzir dan qisas
juga adalah sebahagian dari komponen ajaran Islam sendiri. Kalau kita
boleh meyakini sistem kewangan Islam, mengapa kita sebagai orang Islam
tidak boleh meyakini sistem jenayah Islam?
Jenayah Kekerasan | 2005 | 2006 | 2007 (januari – ogos) |
Bunuh | 497 | 604 | 383 |
Cubaan Bunuh | 94 | - | - |
Rogol | 1887 | 2435 | 2144 |
Cabul Kehormatan | - | 2023 | 1576 |
Samun Berkawan Bersenjata Api | 40 | 68 | 22 |
Samun Berkawan Tanpa Senjata Api | 1842 | 2658 | 1918 |
Samun Bersenjata Api | 317 | 247 | 155 |
Samun Tanpa Senjata Api | 13 210 | 18 446 | 12 936 |
Pemerasan | - | 1549 | 1230 |
Ugutan Jenayah | - | 6336 | 5493 |
Merusuh | - | 2261 | 1744 |
Mencederakan | 4246 | 5716 | 4501 |
Jumlah | 22 133 | 42 343 | 32 102 |
Jenayah Harta Benda | |||
Curi | 34 317 | 37 128 | 28 865 |
Curi Van/ Lori/ Jentera Berat | 5507 | 6328 | 3384 |
Curi Motokar | 9711 | 11 101 | 7954 |
Curi Motosikal | 51 709 | 64 858 | 43 652 |
Curi Ragut | 9617 | 9551 | 7176 |
Pecah Rumah Siang Hari | 6923 | 8253 | 6296 |
Pecah Rumah Malam Hari | 17 542 | 19 060 | 14 356 |
Jumlah | 135 326 | 156 279 | 111 683 |
Jumlah Jenayah Indeks | 157 459 | 198 622 | 143 785 |
Sumber: Polis Diraja Malaysia
dipetik daripada Dewan Masyarakat, November 2007.
Cuba lihat indeks jenayah di Malaysia di atas. Indeks tersebut
sehingga 2007. Ia begitu menakutkan. Ia berkembang-biak walaupun akta
demi akta dicipta. Jenayah berat seperti bunuh, rompak, curi, samun,
rogol menjadi tajuk utama media saban hari. Dulu tidak ada siri 999 di
tv. Tapi kerana banyaknya jenayah kini, maka siri itu tidak kurang idea
dan bahan. Namun kerana tiada ‘ruh’ (spirit) dari langit dalam akta
tersebut, ia tidak berjaya. Sedangkan Allah telah memberi jaminan untuk
mencegah jenayah dari terus berleluasa apabila sistem jenayah Islam
dilaksanakan berdasarkan petunjuk yang benar dari langit. Dan selepas
merdeka lebih 50 tahun , sepatutnya negara kita makin aman dengan
perlaksanaan hukum Tuhan, bukannya makin parah dengan pelbagai jenayah
sehingga terpaksa ditambah pegawai polis dan CCTV.
Hudud atau sistem jenayah Islam ini pula mempunyai tiga fungsi.
Menghukum penjenayah dengan balasan setimpal, mencegahnya dari
mengulangi jenayah yang sama di masa hadapan dan menghindarkan
bakal-bakal penjenayah dari melakukan jenayah tersebut. Dan tentulah
perlaksanaan ini mesti berjalan secara holistik. Bukan hanya menjatuhkan
hukuman atau melaksanakan hudud, masyarakat pula mesti dididik dengan
agama, perkara mungkar mesti dijauhi dan segala elemen yang menyuburkan
jenayah mesti dibanteras. Soalnya ialah setakat mana kerajaan bersungguh
mendidik rakyat dengan agama. Setakat mana mungkar dibanteras
(sedangkan pemimpin UMNO/BN juga terlibat dalam mungkar dan jenayah:
tuduh liwat, pembunuhan, rasuah dan lain-lain) dan tidak pelik jika ada
agensi tertentu yang melindungi penjenayah, samseng atau kongsi gelap.
Tidak sepatutnya timbul keraguan terhadap hukum hudud, ucapan hanya
slogan, atau menjadi mainan politik selamanya. Kesungguhan
melaksanakannya mesti ada pada ahli politik Islam dan terutamanya
pemerintah di peringkat kerajaan pusat yang mempunyai bidangkuasa yang
besar.
Kerajaan Kelantan berhasrat melaksanakan perintah Allah itu. Dalam
tempoh lebih 20 tahun pemerintahannya, suasana kondusif untuk
melaksanakan hukum itu disediakan. Pelbagai aktiviti kebajikan terhadap
rakyat dibuat. Kefahaman Islam disampaikan kepada rakyat. Rakyat dididik
dengan program agama. Kebajikan rakyat diutamakan. Pemimpin kerajaan
negeri diajar dan ditarbiyyah menjauhi rasuah. Akhirnya kalau berlaku
kecurian, maka yang mencuri itu tentunya penjahat yang mesti dihukum.
Justru, kenapa takut dengan hukum hudud?
Terengganu di bawah pemerintahan PAS akhir 1999 hingga 2004 telah
meletakkan batu asas pentadbiran dan pemerintahan negeri berdasarkan
al-Quran, Sunnah, Ijmak dan Qias. Saya masih ingat ketika pihak kerajaan
negeri Terengganu di bawah PAS ketika itu yang membuat seminar
pelaksanaan syariah di tahun 200an itu, saya yang ketika itu masih
menjawat jawatan pensyarah Pengajian Islam turut menghadiri seminar
tersebut. Dalam sebuah bengkelnya, saya kebetulan bersama dengan bekas
ADUN Seberang Takir dari BN, Dato’ Rashid Ngah. Perbincangan tersebut
rancak tentang hukum hudud. Dato’ Rashid Ngah hanya diam, tidak banyak
bercakap, dan tidak pula membantah.
Tempoh yang lama di bawah pemerintahan Dr Mahathir menyaksikan hukum
hudud menjadi mainan, momokan dan sinis dari kejahilan pemimpin UMNO/BN
nombor satu ketika itu hinggalah juak-juaknya yang juga jahil tentang
Islam. Orang Melayu yang jahil dan orang bukan Islam yang kurang
memahami Islam termakan dengan dakyah UMNO/BN mengenai hukum Islam
hinggalah PAS berjaya meruntuhkan tembok itu kemudiannya.
Hanya mereka yang masih tidak faham tentang hukum hudud dan
penjenayah (kolar putih atau biru) sahaja yang cepat melatah apabila
diajak supaya melaksanakan hukum hudud. Sekali lagi ditegaskan, tiada
pilihan untuk menurunkan kadar jenayah melainkan mesti kembali kepada
hukum ajaran Allah, bukan sahaja dalam soal jenayah tetapi bersedia
menerima sistem Islam dalam bentuknya yang holistik dan menyeluruh. PAS
komited dengan perjuangannya ‘Islam Adil Untuk Semua’ dan ‘Membangun
Negara Berkebajikan’ bersama rakan dalam Pakatan Rakyat bagi
menumbangkan UMNO/BN yang mewarisi sifat-sifat ‘penjajah’ ini. -http://www.niknasri.com/
Tiada ulasan:
Catat Ulasan