SEKITAR tahun 1920-an hingga pertengahan
1940-an, orang Melayu di kampung-kampung telah diasuh minda mereka
supaya berbangga menjadi petani dan tidak lebih daripada itu.
Kisah-kisah silam yang dikutip melalui pertemuan dengan orang-orang lama
banyak menceritakan mengenai cara bagaimana minda mereka diasuh oleh
British supaya cenderung ke arah itu, berbangga dengan hanya menjadi
petani.
Kebanyakan kisah itu dikutip daripada
bekas-bekas guru, bekas-bekas profesional Melayu yang telah berumur dan
juga daripada orang-orang kebanyakan yang pernah melalui tempoh selama
lebih 20 tahun itu. Mereka menjadi saksi kepada kerakusan British
merombak pemikiran Melayu supaya berfikiran mundur dan rendah ‘self-esteem’ dalam masyarakat majmuk Malaya ketika itu.
Seorang
bekas guru pernah bercerita kepada saya mengenai baris-baris lirik
dalam lagu-lagu yang disifatkan sebagai patriotik oleh British telah
meresap jauh ke dalam jiwa sebilangan besar orang Melayu ketika dia
masih bersekolah pada waktu itu.
Sebahagian lirik itu berbunyi:
“Kami Melayu,
Bangga jadi petani,
Hidup di kampung tempat kami,
Tempat kami hidup kami mati,
Kami Melayu,
Bangga jadi petani,
Hanya ini kerja kami.”
Dalam
pertemuan dengan golongan profesional Melayu yang telah berumur juga
diceritakan mengenai lirik lagu yang sama meskipun mereka telah lupa
mengenai tajuk lagu yang dimaksudkan.
Keterangan
itu selari dan bersambung-sambung menandakan keadaan itu memang wujud
antara tahun 1920-an hingga pertengahan 1940-an sebelum British menukar
kepada lagu lain yang dinyanyikan di sekolah-sekolah kampung di beberapa
negeri yang menerima Residen Inggeris.
Ia
kemudian disokong ketika pertemuan dengan seorang bekas profesional
Melayu yang sudah berumur lanjut. Dia memberitahu, semasa dia mahu
meminta biasiswa pelajaran daripada kerajaan British untuk menyambung
pelajaran dalam bidang undang-undang dan bertemu dengan seorang pegawai
British dalam satu temuduga.
Anak
Melayu itu menyatakan hasrat untuk menyambung pelajaran dalam bidang
perundangan di London selepas Jepun menyerah kalah, namun pegawai
British dengan angkuh menempelak anak Melayu pintar itu dengan berkata:
“Kamu tak perlu jadi peguam. Jadi petani adalah yang terbaik buat bangsa kamu.”
Mendengar kata-kata itu, anak Melayu itu kemudian beredar meninggalkan pejabat pegawai British itu dengan berkata:
“Kamu Orang Putih (British) akan lihat satu hari nanti, orang Melayu yang kamu hina selama ini akan bangkit dan bangga jadi apa saja yang mereka mahu, jadi lebih baik daripada kamu.” Kata-kata itu dilafazkan begitu sahaja tanpa ada unsur ugutan.
Lagu-lagu ‘mind-set’
yang dinyanyikan di sekolah-sekolah Melayu pada sekitar tempoh itu
berlegar selama 25 tahun sebelum British berundur ke Eropah akibat
kedatangan Jepun ke Tanah Melayu semasa Perang Dunia Kedua. Ia adalah
satu tempoh yang agak lama dalam ‘mengasuh’ minda orang Melayu supaya
hanya berbangga menjadi petani tanpa sebarang cita-cita untuk menjadi
lebih baik daripada pekerjaan petani itu.
Melayu
pada masa itu ditempatkan di kampung-kampung dengan hanya menjadi
pesawah dan penanam buah serta sayur-sayur, mengutip ulam, menangkap
ikan, menjahit jala dan lain-lain pekerjaan tradisional.
Melayu
dibiarkan terperap di kampung-kampung tanpa diberi perhatian sewajarnya
oleh British dalam aspek pelajaran dan juga kesihatan. Melayu dibiarkan
melarat, miskin tanpa harta dan miskin tanpa ilmu melainkan kaya dengan
sikap bangga sekadar menjadi petani. Semua itu berlaku ketika British
mengaut kekayaan Tanah Melayu pada masa Melayu dibodohkan oleh sikap
naif dan sikap lurus bendul mereka sendiri.
Akibatnya, sebilangan Melayu (bukan semua) menjadi manja mengharapkan bantuan daripada orang putih
walaupun British tidak serius memberi perhatian sewajarnya kepada
mereka di kampung-kampung. Bangsa yang sejak beratus tahun lalu terkenal
dengan kehebatan perdagangan telah mundur akibat menjadi manja
mengharapkan perhatian daripada British.
Semua
itu berlaku selepas minda mereka berjaya diubah dengan hanya
menggunakan beberapa buah lagu ‘puaka’ untuk dinyanyikan oleh orang
Melayu sendiri yang naif dan lurus bendul di negeri-negeri tertentu.
Jika sangsi dengan kebenaran kisah ini, sila rujuk kepada orang tua yang
berumur dan pernah melalui zaman kanak-kanak ketika 1920-an hingga
pertengahan 1940-an.
Kisah
silam perjalanan bangsa yang dititipkan itu hanya sebagai pembukaan
bagi artikel ini supaya kita dapat belajar daripada sejarah itu. Sejarah
tidak mampu diubah, namun masa depan boleh dijamin berubah andai kita
belajar untuk tidak mengulangi sejarah kesilapan silam.
Kita
belajar sejarah sebagai salah satunya adalah untuk tidak melakukan
kesilapan yang sama. Namun, sejarah itu sedang diulangi oleh sebilangan
daripada kita yang bodoh sombong dan terlalu dungu untuk belajar
daripada sejarah, malah terlalu bebal untuk mengenal fakta sejarah. Melakukan kembali apa yang pernah dilakukan oleh British terhadap orang Melayu ialah satu kesilapan besar. Perlakuan itu dilakukan semula oleh sebilangan orang Melayu sendiri pada masa kini dan kesilapan itu ialah:
‘meranapkan self-esteem bangsa sendiri’.
--
Mind Game: Demotivate
BRITISH telah berjaya meranapkan self-esteem orang
Melayu pada tempoh 25 tahun itu. Kita hanya mengambil tempoh 25 tahun
itu sahaja dalam konteks artikel ini (bagi mengecilkan skop) walaupun
British sebenarnya telah lama meranapkan self-esteem orang Melayu selama beratus tahun sebelum itu melalui pelbagai cara selain lagu-lagu ‘puaka’ seumpama itu.
Hari
ini dan sejak kebelakangan ini (mungkin sudah lebih 20 tahun juga sejak
kebelakangan ini), sebilangan orang Melayu sendiri melakukan apa yang
pernah dilakukan British kepada bangsa Melayu dengan meranapkan self-esteem bangsa sendiri. Ia dilakukan oleh sebilangan Melayu yang diangkat oleh orang Melayu sendiri sebagai pemimpin pada masa kini.
Pemimpin sewajarnya mengukuhkan self-esteem para pengikutnya supaya bersemangat tulen dalam berjuang (semangat tulen), bukan meruntuhkan self-esteem itu. Perkara yang sebaliknya sedang berlaku pada masa ini apabila self-esteem orang Melayu diruntuhkan oleh pemimpin yang sama bangsa dengan mereka sendiri.
Self-esteem dalam bahasa mudah disebut maruah. Namun, self-esteem mengandungi
maksud yang lebih besar dan lebih luas daripada itu. Ia berkaitan rasa
bangga (bukan bermaksud riak atau takbur) dan keyakinan diri dalam
melakukan pekerjaan atau ketekunan usaha untuk mencapai sesuatu tanpa
dipengaruhi sebarang unsur luar yang boleh melemahkan semangat itu.
Senjata untuk meruntuhkan self-esteem pula antara salah satunya ialah demotivate. Ia
adalah perang psikologi yang banyak digunakan dalam peperangan untuk
meruntuhkan semangat tentera pihak musuh di medan peperangan atau
sebelum bermulanya peperangan. Ia adalah salah satu antara banyak kaedah
propaganda. Demotivate pula terkandung dalam ruang lingkup propaganda.
Demotivate berperanan dalam melemahkan semangat seseorang melalui propaganda, menjauhkan seseorang daripada self-esteem dan menggelapkan alter yang berada dalam diri seseorang. Akibatnya, seseorang yang menjadi mangsa demotivate akan mula menelan setiap yang dicanangkan dan akhirnya semangat menjadi lemah.
Dalam
konteks perang psikologi, ia adalah suatu perlakuan kejam yang
dilakukan dalam mood yang halus dan lembut. Ia kejam kerana melibatkan
pencerobohan terhadap akal, minda dan kewarasan musuh daripada berfikir
secara yang sewajarnya. Ketidakwajaran diperlihatkan sebagai suatu
kewajaran. Ia berlaku apabila minda menjadi keliru untuk mempertahankan self-esteem. Apabila self-esteem diranapkan, kewarasan akan digelapkan dengan mudah dan mangsa akan menjadi lupa jati diri.
Dalam konteks Malaysia
hari ini, muncul beberapa orang dungu yang diangkat menjadi pemimpin.
Dengan nada yang sumbang, pemimpin-pemimpin dari kalangan orang Melayu
itu melakukan perkara yang sama dengan apa yang pernah dilakukan British
satu masa lampau.
Pemimpin-pemimpin itu menerapkan self-esteem yang rendah kepada para pengikut mereka sehingga ada pengikut dungu yang tanpa rasa bermaruah mengaku “MALU MENJADI MELAYU”.
Samalah seperti British mengajar orang Melayu supaya berbangga dengan
hanya menjadi petani dan tidak boleh menjadi lebih baik daripada petani.
Perkara yang sama, tetapi berlaku dalam bentuk ‘reversal mind-set’.
Dikatakan
oleh pemimpin-pemimpin politik jenis itu lagi, tidak perlu bangga
menjadi Melayu sebaliknya motif bangsa tidak dipandang oleh Allah kerana
Allah hanya memandang kepada ketakwaan manusia. Itu
benar, tetapi ada kecacatan dalam kewarasan semasa pertimbangan itu
dibuat apabila menolak perjuangan bangsa sebulat-bulatnya.
Kesannya, wujud sebilangan manusia dungu yang berperasaan malu menjadi Melayu akibat menerima bulat-bulat kerendahan ‘nilai’ self-esteem yang diterapkan oleh pemimpin-pemimpin yang mereka tabal sedangkan
pada masa yang sama bangsa-bangsa lain berbangga dengan bangsa mereka
dan sentiasa memperjuangkan bangsa mereka sendiri tidak kira walau di
bumi mana pun mereka berpijak.
Perlu
berfikir dengan waras. Apabila musuh berperang menggunakan parang, kita
juga mesti ada parang atau yang lebih hebat daripada parang. Bilamana
musuh menggunakan senapang, kita juga perlu menggunakan senapang atau
senjata lain yang lebih hebat daripada senapang. Bukan hanya berharap
kepada tulang empat kerat semata-mata untuk memerangi musuh.
Apabila
bangsa lain berlumba-lumba dan berbangga untuk memperjuangkan bangsa
mereka, kita juga harus melakukan perkara yang sama dan bukan hanya
tunduk malu kerana dijadikan sebagai Melayu tanpa sedikit pun rasa
bangga. Itulah maksudnya kepada perlambangan erti mereka ada senapang,
kita pun ada senapang.
Seseorang pemimpin sewajarnya berperanan membangkitkan semangat para pengikut, bukan meruntuhkan semangat dan self-esteem para pengikut termasuklah ‘mengajar’ pengikut supaya MALU MENJADI MELAYU. Jangan dibuat perkara yang sama seperti British pernah buat kepada kita.
Semasa Perang Scotland-Britain pada sekitar tahun 1296-1328, bangsa Scotland bangga menjadi orang Scotland dan berjuang dengan self-esteem yang tinggi untuk tidak membenarkan Britain bertampuk kuasa di Scotland.
Britain
pula terdiri daripada bangsa Inggeris yang bangga menjadi orang
Inggeris, malah bangga kerana melebarkan empayar luas sehingga kurun
ke-20.
Bangsa Arab juga berbangga menjadi
orang Arab, orang Iran juga berbangga menjadi bangsa Parsi, orang Cina
juga berbangga dilahirkan Cina, begitu juga dengan Yahudi yang berbangga
dilahirkan Yahudi. Mengapa mesti ada sebilangan orang Melayu yang MALU
MENJADI MELAYU hanya kerana pemimpin mereka berkata SUNGGUH MALU MENJADI
MELAYU?
Memang benar, Allah hanya memandang
tingkat ketakwaan manusia dan bukan dari darah mana-mana keturunan yang
diwarisinya. Dalam konteks negara merdeka, ‘pride’ sesebuah bangsa juga ada peranannya dalam mengemudi semangat para pejuangnya untuk memastikan negara terus merdeka.
Pride lebih
mudah ditiup dengan semangat bangsa. Melayu di Malaysia adalah Islam
majoritinya. Apabila disebut sebagai orang Islam di Malaysia, kita akan
hanya terus fokus kepada satu bangsa iaitu MELAYU. Ia kerana bangsa
Melayu itu Islam agamanya. Apabila orang Melayu berdiri kuat, Islam juga
berdiri kuat. Apabila self-esteem orang Melayu jatuh melukut, self-esteem orang Islam di Malaysia juga jatuh melukut.
Namun, Islam itu bukan Melayu, tetapi Melayu itu beragama Islam.
Fahami
perenggan ini dengan tingkat kewarasan yang tajam dan cuba jawab dengan
ikhlas kepada diri sendiri. Apabila ada yang tidak bermaruah berasa
MALU MENJADI MELAYU, timbul teka-teki iaitu siapakah orang Melayu yang
akan berjuang demi agama yang dianuti oleh bangsanya? Berasa malu untuk
berjuang demi agama yang dianuti bangsa sendiri kerana dilahirkan
menjadi bangsa Melayu?
Juga
berfikir tajam mengenai perenggan ini. Siapakah yang akan waras
berfikir sekiranya bangsanya di negara ini teguh maka agamanya di negara
ini juga akan teguh? Oh tidak, mereka itu MALU MENJADI MELAYU dan tidak
akan berjuang demi bangsa yang menganuti agama mereka. Mereka kata
mereka berjuang demi agama, bukan bangsa sedangkan bangsa mereka itu
menganut agama yang sama dengan agama mereka.
Ketepikan
orang Melayu yang murtad. Orang Melayu itu orang Islam majoritinya.
Jika tercetus perang akidah tanpa disangka-sangka, orang Islam akan
bersatu atas nama Melayu. Semangat jihad akan ditiup berbekalkan
semangat bangsa yang berjuang demi agama mereka, Islam. Sila faham
betul-betul dengan maksud ‘berbekalkan semangat bangsa’ hanya bekal,
bukan berakidahkan semangat bangsa. Disatukan dalam erti kata bangsa Melayu beragama Islam.
Cuba jejakkan kaki ke bumi Palestin. Lihat,
orang Islam di Palestin bersatu menentang Zionis dengan berbekalkan
semangat bangsa Arab. Bukan kerana orang Arab itu majoriti beragama
Islam di dunia, tetapi orang Arab itu majoriti beragama Islam di
Palestin. Semangat mereka disatukan dengan erti kata semangat bangsa yang berjuang untuk agama mereka.
Semangat yang mahu mengembalikan maruah orang Arab beragama Islam di
rantau tebing. Lihat bagaimana semangat bangsa memainkan peranan untuk
jihad mengembalikan maruah sebuah bangsa yang beragama Islam. Mereka bangga menjadi sebuah bangsa yang memperjuangkan Islam.
Namun, sebilangan orang Melayu tidak bangga menjadi sebuah bangsa yang
mempertahankan Islam, tidak bangga menjadi bangsa yang dipilih oleh
Allah untuk menganut agama-Nya.
Tanah
Melayu, Malaya, Malaysia.. telah ditetapkan rencana kejadian oleh Allah
iaitu semua Melayu di tanah ini hidup dalam agama-Nya, menjadi sebuah
bangsa yang menganut agama-Nya dan memperjuangkan agama-Nya. Melayu hari
ini adalah sebuah bangsa yang dilahirkan dalam agama-Nya andai ibu bapa
seseorang Melayu itu beragama Islam. Melayu tidak wajar malu kerana
mereka menjadi sebuah bangsa yang memperjuangkan agama-Nya. Majoriti
Melayu itu Islam dan teguhnya Melayu itu juga bermaksud teguhlah Islam
di Tanah Malaya ini. MALUKAH MENJADI MELAYU wahai segelintir Melayu yang
sudah menjadi dungu oleh kedunguan perkataan-perkataan pemimpin yang
tidak faham dengan maksud sebuah bangsa yang memperjuangkan agama mereka.
Jika dibuat satu lirik yang merendahkan self-esteem Melayu pada hari ini sepertimana yang pernah dibuat oleh British, lirik itu mungkin berbunyi:
“Kami Melayu,
Kami malu menjadi Melayu,
Malu menjadi bangsa yang ditakdirkan memperjuangkan Islam di Asia Tenggara.”
Mungkin
akan berbunyi sumbang seperti itu, lebih sumbang daripada lirik yang
diperkenalkan British pada sekitar 1920-an hingga pertengahan 1940-an.
Lebih teruk daripada mind-set yang diperkenalkan British.
Perkataan-perkataan yang keluar daripada orang yang MALU MENJADI MELAYU
adalah jauh lebih busuk daripada mulut British yang mahu meragut self-esteem orang Melayu ketika itu.
Pemimpin-pemimpin
Melayu yang mengajar orang Melayu supaya MALU MENJADI MELAYU itu adalah
dari kalangan orang politik berotak dungu dan otak udang. Tidak tahu
mencari titik yang menemukan antara Islam dengan Melayu. Mereka dengan
hidung kembang selalu berkata, perbezaan itu adalah rahmat.
Memang
Melayu dan Islam itu berbeza kerana Melayu itu bangsa dan Islam itu
agama, Allah juga tidak memandang bangsa. Kenapa tidak mencari titik
perbezaan yang menemukan Islam dengan Melayu dan disifatkan sebagai
rahmat Allah? Melayu adalah bangsa yang beragama Islam, sebuah bangsa yang ditakdirkan berjuang untuk agama-Nya. Malukah menjadi bangsa yang ditakdirkan untuk lahir dalam agama-Nya?
Oh, semua itu akan di-twist. Mereka
berkata pula, MALU MENJADI MELAYU kerana ada sebilangan Melayu yang
makan rasuah. Apakah Melayu sahaja yang makan rasuah? Bangsa Cina juga
ada yang makan rasuah, bangsa India pun ada, bangsa Inggeris pun ada
yang makan rasuah dan pecah amanah, bangsa Yahudi berhati Zionis pun
lebih teruk lagi sampai bunuh orang Islam. Tetapi, bangsa-bangsa itu
tetap bangga dengan bangsa mereka walaupun ada segelintir daripada
kalangan mereka yang terlibat perlakuan tidak baik. Mereka kenal dengan
kenyataan bahawa akan mana-mana bangsa sekalipun tidak akan dapat lari
daripada melakukan kesalahan. Namun, adakah disebabkan hal itu ada orang
Melayu yang malu menjadi Melayu sedangkan bangsa lain masih kekal
bangga dengan bangsa mereka? Malangnya ada Melayu yang sudah membuang
bangsa hanya kerana perkara seperti itu.
--
Banyak
boleh ditemui dalam blog-blog politik yang mana ada komen daripada
orang Melayu sendiri yang mengaku MALU MENJADI MELAYU. Ia satu realiti
iaitu ada orang Melayu yang mula rasa malu menjadi Melayu. Malu
dilahirkan sebagai bangsa yang ditakdirkan untuk menganut agama Allah.
Jangan
hanya kerana membenci UMNO yang ultra-Melayu, lalu semangat bangsa
dibuang ke dalam bakul sampah. Jangan hanya kerana membenci PAS, lalu
semangat Islam disudutkan ke tepi. Bangsa Melayu dan agama Islam tidak
dapat dipisahkan. Kuatnya Islam di Malaysia uga bermaksud kuatlah
Melayu. Kuatnya Melayu juga bermakna kuatlah Islam. Bina kekuatan Melayu
di Malaysia selari maksud dengan membina kekuatan Islam kerana Melayu
itu beragama Islam.
Jangan
lagi menjadi seperti kanak-kanak Melayu di sekolah Melayu yang diajar
menyanyikan lagu yang memaksa mereka berbangga dengan hanya menjadi
petani pada sekitar tahun 1920-an hingga pertengahan 1940-an.
Di
kalangan kanak-kanak itu juga ada yang membantah keras kerana Melayu
dipaksa berbangga menjadi petani sedangkan Melayu sebenarnya boleh
menjadi lebih baik daripada sekadar petani kampung.
Jika
ada yang masih malu menjadi Melayu... lihatlah bagaimana bangsa-bangsa
yang berjaya begitu berbangga dengan bangsa mereka sejak sebelum mereka
berjaya. Mereka bersemangat memperjuangkan maruah bangsa mereka untuk
berjaya, sedangkan sebilangan Melayu begitu malu menjadi Melayu hanya
kerana pemimpin mereka juga berasa malu.
Pemimpin
yang baik adalah yang mampu meningkatkan semangat pengikut, semangat
yang tulen, tulen bererti mengenal segala kenyataan selepas menemui
persamaan dalam titik-titik yang berbeza. Pemimpin yang baik adalah yang
mampu menaikkan semangat pengikut di ‘medan perang’ dan bukan yang ‘menjadikan pengikut berasa malu’
untuk berhadapan dengan musuh. Masih tertunduk malu ketika kepala mahu
dipancung oleh musuh. Malu, malu dan malu tidak bertempat. Malu, malu
dan malu untuk melihat diri sendiri.
Melayu
semua, bangsa kamu adalah bangsa yang hebat, dicemburui Portugis dan
Sepanyol serta bangsa-bangsa Eropah yang lain sehingga bermain kotor
menjatuhkan empayar-empayar Melayu.
Melayu
itu bangsa yang banyak rahsia sejak zaman berzaman, rahsia yang mahu
diketahui oleh orang Eropah dan ditutup segala rahsia itu sehingga
Melayu lupa asal usul apabila Tanah Melayu sudah terjajah.
Apabila
sudah lupa asal usul kegemilangan bangsa, maka wujudlah sebilangan
Melayu yang malu menjadi Melayu. Malu selepas pemimpin mereka juga
berasa malu. Dungu dan malu yang tidak bertempat. Malu menjadi Melayu
sehingga sejarah kegemilangan dan kehebatan bangsa mahu ditempatkan
kepada bangsa lain. Malu dan dungu sehingga tanpa usul periksa berkata
Tanah Melayu ini bukan milik bangsa Melayu sejak asalnya.
Orang
bodoh itu makanan paling lazat bagi orang yang bijak memanipulasi.
Daging orang gopoh yang tidak pandai usul periksa pula adalah jauh lebih
lazat daripada daging orang bodoh kerana orang gopoh itu jauh lebih
bodoh daripada orang yang sedia bodoh. Sama ada orang bodoh atau orang
gopoh, kedua-duanya itu adalah makanan yang lazat kepada orang bijak.
Demotivated
Malays.. lets get re-motivated starts from now, bangunlah dengan minda
yang waras, yang menemui titik persamaan daripada dua titik yang
berbeza.
Atau
Teruskan menyanyi dengan ‘lagu-lagu puaka’ yang meruntuhkan jati diri tanpa sedikitpun rasa bangga.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan