Oleh SYARIZAL MAKSIR,Bintulu.
Ingin saya tegaskan bahawa kesusahan, kekalutan, kegusaran sentiasa menyelubungi kita lantaran negara diurustadbir dengan diselimuti kronisme, rasuah, penipuan dan sebagainya. Hasilnya adalah pembolotan kekayaan negara secara korup oleh kelompokkelompok dan individu-individu tertentu dan rakyat semakin terhimpit lantaran nilai ringgit yang semakin kecil.
Meskipun rakyat semakin sedar dan cuba untuk melakukan perubahan, namun segalanya menjadi sia-sia apabila undi rakyat tidak menjadi penentu, tetapi yang menjadi penentu adalah pengundi-pengundi palsu (pengundi hantu, pengundi clone dan sebagainya). Sebagai contoh yang mudah adalah pengguguran senarai pengundi yang berjaya didedahkan dan dibantah oleh PAS Selangor.
Kesedaran bagi mendesak untuk pembaikan terhadap pilihan raya yang bersih telah berjaya dimobilisasi oleh gabungan NGO dan didokong rakyat iaitu Bersih. Namun malangnya kesedaran yang penting ini telah berjaya dipudarkan oleh BN. Bagaimana?
Jawapannya sangat senang, iaitu para pemikir BN akan mengalihkan isu ini kepada isuisu lain agar rakyat tidak dapat lagi fokus. BN akan mengaturkan proksi-proksi mereka iaitu media arus perdana, NGO-NGO, mantan-mantan pimpinan BN, jabatan-jabatan dan pelbagai lagi agensi agar mengubah isu dan isu sebenar akan tenggelam bagi mamanjangkan hayat BN.
Terdapat banyak cara yang diaturkan oleh pemikir-pemikir BN yang harus kita sedari agar kita tidak tertipu lagi, dan agar kita tidak tertarik dan mengikut kehendak mereka. Antara rahsia mereka adalah:
1. Mencipta dan mempromosikan perkara yang membingungkan atau menyentak Pakatan Rakyat.
2. Menyibukkan rakyat dengan menimbulkan perkara menyusahkan rakyat.
3. Membuat pendedahan yang boleh melekakan Pakatan Rakyat.
4. Membangkitkan isu-isu perkauman atau polemik agama.
Setiap kali BN merasa mereka terancam dengan pendedahan (dalam hal ini, pilihan raya yang bersih), BN akan mencipta dan melontarkan gelarangelaran atau tuduhan-tuduhan bagi menjatuhkan Pakatan Rakyat.
Tidak kiralah sama ada melabelkan Pakatan Rakyat sebagai pengganas, pelampau agama, pelampau bangsa, terpesong dari perjuangan asal bahkan mereka akan melakukan serangan-serangan peribadi.
Akhirnya rakyat akan kebingungan dan pimpinan Pakatan Rakyat pula sibuk menjawab tuduhan yang dilemparkan. Maka tuntutan pilihan raya bersih akan ditenggelamkan.
Kedua, kerajaan BN akan menimbulkan isu yang akan menggusarkan rakyat, contohnya menaikkan cukai, menaikkan tarif, kenaikan harga minyak, tol dan sebagainya, sama ada akhirnya mereka akan berlagak hero menyelesaikan masalah tersebut atau mereka akan membiarkan rakyat terkapaikapai menyelesaikan masalah ditimbulkan ini. Maka tuntutan pilihan raya bersih akan terkubur.
Ketiga, BN juga sanggup mewujudkan perkara-perkara yang menggembirakan Pakatan Rakyat bagi melekakan pendokong dan pimpinan Pakatan Rakyat. Contohnya, mereka akan berlakon bergaduh sesama sendiri. Bayangkan tibatiba Dr Mahathir dan Muhyiddin Yassin menyokong Hudud dan ada pula pimpinan lain yang menentang. Sedangkan selama ini pedulikah mereka? Bahkan mereka sanggup melakukan pendakwaan terhadap individu atau pimpinan-pimpinan mereka sendiri. Sebagai kesan, pimpinan dan penyokong Pakatan Rakyat akan bergembira dengan isu yang ditentang dan sibuk menceritakan hal tersebut. Akhirnya tuntutan pilihan raya bersih akan terkubur.
Keempat, BN juga sanggup menimbulkan isu-isu perkauman, menimbulkan polemik antara agama, bahkan sanggup menimbulkan polemik dengan negara lain. Hal begini bukan baru, mereka sanggup menimbulkan polemik-polemik ini kerana mereka tahu apabila berlaku kekecohan atau rakyat rasa tidak selamat, rakyat akan menumpukan perhatian kepada isu-isu tersebut. Akhirnya tuntutan pilihan raya bersih akan terkubur.
Lantaran itulah, saya ingin menyeru kepada seluruh rakyat Malaysia yang menginginkan hidup yang lebih baik, agar menumpukan sepenuh perhatian dan menggembleng tenaga me nuntut pilihan raya yang bersih.
Seandainya terdapat isu-isu yang cuba ditimbulkan, janganlah kita mudah teralih arah.
Kepada pimpinan Pakatan Rakyat pula, apalah salahnya jika kita terus bekerja membela rakyat, namun jika ditanya mengenai isu-isu lain yang cuba dipolemikkan, jawabkan sahaja, “kita Insya-Allah mampu menyelesaikannya (apa jua isu) apabila kita memenangi pilihan raya dan menjadi kerajaan, syaratnya pilihan raya mestilah diadakan dengan bersih.”
Tiada ulasan:
Catat Ulasan