Sekretariat Bersama |
Rangkaian gerakan Islam ABIM-PKPIM-WADAH merakamkan rasa terganggu dan
terkilan dengan gejala sikap kurang bertanggungjawab dalam menyikapi
isu hudud yang kembali dipolemikkan dan dipolitikkan
sebagaimana tercermin dalam kenyataan-kenyataan pelbagai pihak,
termasuk yang mengeksploitasikannya dengan motif semata-mata untuk
kepentingan politik sempit, juga yang menanggapinya secara dangkal,
nakal dan provokatif.
Isu penting dan berimplikasi besar ini seharusnya ditanggapi dan
disikapi dengan rasa tanggungjawab keagamaan, amanah keilmuan, dan
kesedaran kewarganegaraan sesuai dengan nilai-nilai budaya bangsa yang
bertamadun dan beradab.
Bagi kaum Muslimin yang menginsafi hakikat bahawa al-Islam adalah al-din yang harus diterima secara kaffah, utuh dan menyeluruh (`aqidah dan syariatnya), pelaksanaan hukum hudud adalah suatu tanggungjawab keagamaan.
Justeru, ia adalah bahagian daripada undang-undang jenayah (al-`uqubat) yang menjadi salah satu komponen utama syari`at Islam. Demikianlah hakikatnya, pelaksanaan hukum hudud harus dilihat sebagai bahagian integral daripada proses pelaksanaan syari`at (tatbiq al-shari`ah) keseluruhannya, meliputi segala bidang cakupannya.
Syari`at adalah cara hidup yang lengkap (the complete way of life)
yang mengatur segala dimensi kehidupan manusia: hubungannya dengan
Tuhan dan hubungannya dengan sesama manusia sebagaimana yang
diperincikan dalam pelbagai disiplin ilmu seperti `ibadat, munakahat, mu`amalat dan jinayat.
Dengan demikian konsep pelaksanaan syari`at harus difahami dalam
pengertian luas, termasuk dimensi hukum-hakamnya, semangatnya,
akhlaknya, dan maqasidnya iaitu objektif pemeliharaan agama,
jiwa, akal, keturunan dan harta. Malang sekali andainya pelaksanaan
syari`at direduksikan menjadi hanya sekadar hukum “potong tangan” dan
“rejam”.
Dalam menyikapi hukum Ilahi (termasuk hudud) umat Islam tidak mempunyai pilihan selain patuh (sami`na wa ata`na), menepati ikrar raditu bi ‘Llahi Rabban (aku
redha dengan Allah sebagai Tuhan) yang berimplikasi kerelaan menerima
hukum-hakam-Nya, dan pengakuan bahawa ia adalah hukum yang terbaik dan
teradil.
Dalam hal ini akal manusia harus tunduk kepada wahyu, menerima hukum
Tuhan seadanya, bukan memandai-mandai memperlekeh dan mempersenda hukum
yang telah ditanzilkan oleh Tuhan Ahkam al-hakimin sebagai hukum yang barbaric dan zalim. Manusia
mukmin sebijak mana pun seharusnya menerima hakikat bahawa Tuhanlah
yang Maha Tahu apa yang membawa kebaikan dan apa yang membawa keburukan (…ya`lamu al-mufsida min al-muslih).
Apa yang ditentukan oleh Tuhan, itulah keadilan. Tuhan tidak
berkepentingan ketika menentukan sesuatu hukum, tidak seperti manusia
yang selalu membuat peraturan-peraturan yang didasari motif memelihara
kepentingan diri dan kelompok.
Ternyata penerimaan terhadap syari`at (termasuk hukum hudud)
sangat terkait dengan `aqidah atau iman. Justeru, memang syari`at
selamanya tegak di atas asas `aqidah. Demikianlah dua serangkai yang
tidak dapat dipisahkan, dan kerananya al-Qur’an selalu menyebut
kedua-duanya dalam bentuk gandingan: iman dan amal salih (`aqidah dan
syari`ah). Dengan kata lain, tidak ada syari`at tanpa `aqidah.
Berasaskan premis tersebut, bagi umat Islam persoalannya bukan lagi
perlu atau tidak melaksanakan hudud. Yang menjadi persoalan adalah bagaimana melaksanakannya.
Syari`at Islam adalah bersifat abadi dan universal, dan kerana itu ia
sesuai dan relevan sepanjang masa dan di semua tempat, termasuk dalam
masyarakat majmuk. Kemajmukan masyarakat tidak boleh dijadikan alasan
untuk umat Islam menolak hukum hudud. Kemajmukan adalah
fenomena yang tidak asing dalam sejarah pelaksanaan hukum Islam. Sejak
zaman Perlembagaan Madinah fenomena kemajmukan sudahpun wujud.
Penolakan atas alasan tersebut dikhuatiri boleh menjejaskan `aqidah
kerana ia menyiratkan anggapan kelemahan hukum Allah, yang bererti juga
kelemahan Allah. Seolah-olah Tuhan terlepas pandang tentang adanya kaum
Muslimin di tengah masyarakat majmuk.
Kemajmukan adalah ciptaan Allah Yang Maha Esa sebagaimana hukum
syari`at juga adalah ciptaan Allah Yang Maha Esa. Faham Keesaan Allah
berimplikasi bahawa segala ciptaan Allah terjalin dan terpadu dalam
kesatuan tauhidik yang harmonis.
Hudud sebagai bahagian daripada syari`at adalah amanah Allah
yang harus dilaksanakan dengan bijaksana (berhikmah) dan penuh
tanggungjawab demi mencapai objektif keadilan Ilahi. Untuk itu proses
pelaksanaan hukum hudud harus mematuhi kaedah-kaedah perubahan yang realistik dan strategik.
Antara realiti yang harus diambil kira termasuklah hakikat bahawa pelaksanaan hudud dalam
konteks Malaysia ketika ini diperjuangkan menerusi proses demokrasi,
dan dalam kerangka perlembagaan negara. Selain itu ia juga diperjuangkan
di tengah masyarakat majmuk, dan di tengah suasana wujudnya masalah al-ummiyyat al-diniyyah atau gejala “buta agama” yang cukup fenomenal.
Mengambil kira realiti tersebut, perjuangan melaksanakan syari`at harus didasarkan kepada fiqh al-awlawiyyat, perubahan yang menepati urutan keutamaan dengan mengenalpasti apa yang harus didahulukan dan apa yang perlu dikemudiankan.
Perjuangan melaksanakan syari`at juga harus menepati kaedah dan pendekatan al-tadarruj, beransur-ansur, subtle dan gradual. Minda umat keseluruhannya harus dipersiapkan untuk sedia menerima perubahan (hidup dalam kawalan syari`at dan hududu ‘Llah).
Para penguasa perlu dipersiapkan dengan political will, tekad politik yang kental untuk
melaksanakan syari`at. Rakyat massa pula harus dipersiapkan dengan
ilmu, kefahaman dan kesedaran keagamaan agar siap mendukung pelaksanaan
syari`at. Sesungguhnya suasana yang kondusif adalah keperluan utama
menjayakan agenda perubahan. Dengan demikian pelaksanaan syari`at tidak
akan berupa suatu pemaksaan ke atas masyarakat yang enggan (reluctant society) kerana jahil dan keliru.
Sementara itu mekanisme dan jentera pelaksananya juga harus
dipersiapkan dengan tahap profesionalisme, kompetensi dan integriti
yang tinggi. Tahap kemampuan yang sedemikian adalah syarat yang tidak
boleh dikompromikan demi menjamin tercapainya objektif keadilan,
mendidik serta menginsafkan penjenayah, dan lebih penting daripada itu
dapat melindungi mangsa dan masyarakat seluruhnya.
Memang demikianlah falsafah hukum dalam Islam, tidak seperti
undang-undang rekaan manusia yang terkesan bersimpati kepada
penjenayah sehingga mengabaikan tanggungjawab melindungi korban.
Akibatnya jenayah berleluasa, sedang masyarakat hidup dalam ketakutan.
Ternyata pelaksanaan hudud sebagai bahagian daripada
pelaksanaan syari`at bukan hanya urusan para fuqaha’ dan ahli
undang-undang, tetapi urusan kolektif pelbagai pihak: penguasa, ahli
politik, pentadbir, pendakwah, pendidik, ilmuwan, cendekiawan dan
lain-lain.
Para penguasa harus berusaha menggunakan kuasa mereka sejauh yang
dimungkinkan oleh realiti tempat, masa dan kemampuan. Pendakwah dan
pendidik harus berjihad membina generasi dan umat Muslim yang komited,
berjiwa dan berfikrah Islamiah. Para ilmuwan dan cendekiawan harus
berjuang membasmi kejahilan dan kekeliruan masyarakat tentang hakikat
syari`at termasuk hukum hudud.
Masyarakat umumnya harus disedarkan bahawa perjuangan mendaulatkan
syari`at tidak hanya sebatas melaksanakan hukum jenayah, tetapi
mencakupi daerah yang lebih luas, meliputi segala usaha ke arah
kehidupan berkualiti (hayatan tayyibah) yang penuh barakah,
adil dan sejahtera, bermaruah dan berakhlak mulia. Segalanya
diperjuangkan secara terpadu, seiring dan sehaluan.
Hukuman hudud ke atas pencuri misalnya, harus dilaksanakan
seiring dengan perjuangan meningkatkan taraf hidup rakyat dan menegakkan
prinsip keadilan sosial, pemerataan kueh negara, dan seterusnya
memerangi amalan pembolotan kekayaan negara oleh kaum kroni. Dengan
demikian hukuman hudud ke atas pencuri hanya dilaksanakan setelah mengambil kira konteks sosio-ekonominya.
Andainya jenayah mencuri itu berlaku dalam keadaan kecukupan dan taraf hidup yang selayaknya (reasonable), wajarlah pelakunya dihukum hudud. Memang ia tidak layak hidup dalam masyarakat manusia yang beragama dan berbudaya.
Demikianlah hakikatnya, undang-undang jenayah Islam tidak
dilaksanakan secara terpisah dari syari`at keseluruhannya. Ia selamanya
terkait dan terpadu dengan komponen-komponen syari`at lainnya, termasuk
komponen kerohanian seperti iman, taqwa, dan nilai-nilai akhlak mulia
lainnya. Dalam masyarakat pengamal syari`at secara utuh dan terpadu
seperti itu tidak akan banyak kes jenayah yang berlaku.
Gambaran tentang masyarakat yang penuh dengan potongan-potongan tangan yang berserakan akibat hukum hudud sebenarnya
hanya imajinasi jahil dan mengada-ngada. Keadaan yang mengerikan
seperti itu tidak pernah terjadi sepanjang sejarah pelaksanaan hukum hudud pada masa lalu.
Dalam kaitan ini terdapat catatan bahawa sepanjang sejarah generasi Islam seratus tahun pertama (dari bi`thah hingga pertengahan era Umawi) hukuman hudud zina hanya dilaksanakan sebanyak enam kali, sementara hukuman hudud ke atas pencuri dilaksanakan hanya empat kali sepanjang tempoh yang sama (seratus tahun).
Perjuangan mendaulatkan syari`at ketika ini terpaksa berhadapan
dengan kenyataan bahawa Islam, terutama undang-undang jenayahnya telah
lama dimomokkan dengan pelbagai label negatif: kejam, barbaric dan menakutkan. Dalam kaitan inilah pentingnya usaha pemulihan citra Islam sebagai agama yang ramah dan pembawa rahmah.
Islam tidak datang untuk mendera, tetapi untuk menyejahterakan (aslim taslam!).
Tanggapan negatif terhadap syari`at di kalangan sebahagian umat Islam
dan bukan Islam harus ditangani dengan usaha pencerahan, memberikan
kefahaman menerusi pendekatan dialog yang meyakinkan dan penuh hikmah.
Semua pihak, terutama warga bukan Islam seharusnya bersikap terbuka dan
objektif dalam memahami dan mempersepsikan Islam. Untuk itu mereka perlu
mewaspadai jebakan Islamophobia yang disebarkan oleh dalang-dalang konspirasi global.
Dalam masyarakat berbilang kaum dan agama seperti Malaysia, semangat
toleransi antara agama harus sentiasa dipupuk dengan menyuburkan sikap
saling hormat, termasuk mengakui hak umat Islam mengamalkan agamanya
(`aqidah dan syari`at Islam), sebagaimana umat Islam menghormati agama
lain dan mengakui hak penganut-penganutnya mengamalkan agama
masing-masing.
Dalam hal ini warga bukan Islam perlu memahami bahawa hak mengamalkan
agama dalam konteks umat Islam adalah meliputi pengamalan hukum-hakam
agama (Islam) dalam segala bidang, termasuk bidang hukum jenayah.
Justeru, pelaksanaan hukum hudud di kalangan umat Islam
adalah sebahagian daripada hak beragama dan hak mengamalkan agama anutan
mereka. Warga bukan Islam tidak perlu merasa terganggu dengan
pelaksanaan hukum tersebut kerana ia tidak melibatkan mereka dan tidak
menjejaskan hak mereka untuk beramal dengan ajaran agama anutan mereka
sendiri.
Sesuai dengan semangat toleransi antara agama, semua pihak harus
menghentikan segala bentuk perlakuan dan pernyataan yang menghina dan
mempersenda agama. Kenyataan-kenyataan sinis dan provokatif yang
kadang-kadang diucap atau diungkapkan oleh media atau pemimpin
masyarakat jelas tidak membina dan tidak mendidik, juga bertentangan
dengan nilai-nilai kesopanan dan kesusilaan bangsa yang beradab dan
bertamadun.
Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM),
Persatuan Kebangsaan Pelajar Islam Malaysia (PKPIM), Wadah Pencerdasan Umat Malaysia (WADAH). |
Jumaat, 7 Oktober 2011
Masyarakat majmuk bukan alasan tolak hudud
Langgan:
Catat Ulasan (Atom)
Tiada ulasan:
Catat Ulasan