Sabtu, 1 Oktober 2011

Fakta penubuhan PAS bukti Umno tolak Islam

Oleh Mohd Nasir Awang   

1 Oktober 2011, ribuan pemimpin, ahli dan pendukung PAS dijadualkan berhimpun di http://mudin001.com/wp-content/uploads/2009/05/bendera-pas-300x237.jpgKepala Batas, Pulau Pinang bagi merayakan Sambutan Ulangtahun ke-60 usia perjuangannya.

‘Sepak mula’ aturcara sambutan itu malah berlangsung lebih awal dengan acara Forum Perdana yang dijadual diadakan malam ini (Jumaat). Dengan tajuk “PAS: Pembangkang, Pemerintah dan Penyelamat Ummah”, forum yang menampilkan Ustaz Idris Ahmad sebagai moderator itu turut membariskan empat nama besar dalam perjuangan Islam tanahair.


Mereka adalah Timbalan Presiden PAS, Haji Mohamad Sabu; Naib Presiden, YB Salahuddin Ayub; Ketua Penerangan, Dato’ Tuan Ibrahim Tuan Man dan bekas Mufti Perlis, Dr Mohd Asri Zainul Abidin.

Agenda lebih padat bagaimana pun menanti hadirin esok hari. Seperti biasa, ia bakal dipenuhi sessi ucapan, pembentangan kertas kerja dan perbahasan di sebelah pagi. Serentak itu turut dilangsungkan karnival jualan dan pameran sejarah PAS, selain ikut diselit aturcara persembahan pentas.


Manakala di sebelah malamnya akan diadakan Solat Hajat dan Munajat Perdana, sebelum diakhiri dengan Ucap Perdana membariskan lima pemimpin tertinggi Pakatan Rakyat mewakili DAP, KeADILan dan PAS sendiri.


Pemilihan Pulau Pinang sebagai tapak sambutan bukan dibuat tanpa perhitungan politik. Ia bukan semata-mata memanfaatkan negeri diperintah Pakatan Rakyat bagi memudahkan urusan sambutan. Ia sebenarnya bersandarkan fakta sejarah penubuhan PAS itu sendiri. Parti Islam itu terbentuk secara rasmi 60 tahun lalu menerusi Persidangan Persatuan Ulama Se-Malaya di Butterworth.


Sepertimana bunyi namanya, Persatuan Islam Se-Malaya (PAS) yang kemudiannya didaftarkan sebagai Pan-Malayan Islamic Party (PMIP), tujuan penubuhan PAS adalah demi memenuhi tuntutan agama. Ia digariskan dengan jelas “.. untuk membentuk suatu tenaga bersama bagi menyelenggarakan  segala tuntutan Islam dan siasah berdasarkan demokrasi”.


Agak janggal bunyinya apabila pertubuhan baru itu memilih bekas Pengerusi Biro Agama Umno, Tuan Guru Ahmad Fuad Hassan sebagai Yang Dipertuanya (Presiden) yang pertama. Walau pun ada penulis sejarah mendakwa kesediaan beliau menerajui PAS ekoran permasalahan peribadinya dengan para pemimpin Umno, fakta sejarah lebih popular mengenai faktor berpalingnya Ahmad Fuad daripada parti Melayu itu ialah perbezaan pendirian mengenai hukum Islam.


Beliau dikatakan sangat kecewa apabila Umno memutuskan untuk mewujudkan Loteri Kebajikan Masyarakat. Selaku orang agama dalam Umno, beliau menegaskan betapa perkara itu tidak terlepas daripada unsur perjudian yang mana hukumnya di sisi Islam adalah jelas haram.


Sebagaimana diduga pandangan beliau diketepikan begitu sahaja oleh Umno dan permainan loteri itu dilaksanakan. Umno tidak pernah menganggapnya sebagai judi.


Mungkin setelah 60 tahun berlalu, ada pengkaji sejarah yang masih mempertikaikan percanggahan fakta tersebut. Sudah tentu khalayak yang kuat menyokong Umno atau amat cenderung hati kepada perjuangan nasionalisme-sekularisme dianuti parti itu akan mempertahankan versi pertama, iaitu Ahmad Fuad menyertai dan memimpin PAS kerana kecewa setelah gagal mendapat tempat dalam pemilihan Umno.


Namun rasanya tidak akan ada mana-mana pakar sejarah yang tergamak memperbodohkan dirinya dengan mendakwa kononnya Ahmad Fuad tidak pernah menjadi ahli dan pemimpin Umno, sepertimana ada profesor kini mendakwa Tanah Melayu tidak pernah dijajah British dulu-dulu!


Penafian fakta sejarah diterima umum sekian lama itu mungkin bermaksud membasuh imej Umno. Logiknya, jika Ahmad Fuad bukan pemimpin Umno, maka tidka timbul soal beliau menentang judi dianjurkan parti itu dari dalam.


Samalah juga usaha seorang profesor membela maruah Umno yang kian tercemar ekoran kesedaran umum mengenai fakta sebenar sejarah negara. Logiknya, jika benar British tidak pernah menjajah Malaya, sebaliknya hanya menaungi dan membantu Raja-Raja Melayu mengurustadbir negara, maka sudah tentu sesiapa yang menentang British dulu boleh dianggap pemberontak dan pengganas.


Namun perbuatan sedemikian pada hakikatnya satu bentuk jenayah akademik yang hanya mencemar dan menjatuhkan martabat cendikiawan itu sendiri.


Kalangan pencatat sejarah yang condong kepada kepentingan Islam pula akan melihat kesediaan Ahmad Fuad menerajui PAS sebagai natijah percanggahan pendirian Umno dengan hukum Islam diperjuangkan ulama, termasuk ulama di kalangan parti itu sendiri.


Sebetulnya itulah antara pengajaran dan pemerhatian yang sepatutnya dikutip generasi kini, terutama dalam menghayati sejarah penubuhan dan perkembangan PAS sejak enam dekad lalu. Bahawa pendirian Umno dan hukum Islam adalah dua perkara yang kerap tidak sehaluan sejak dulu.


Islam dan al-Quran mengatakan judi itu haram, Umno mendakwa sebaliknya. Selagi mana ia melihat ada ruang dan peluang menjana pendapatan dan memacu ekonomi, apa dipedulikannya hukum agama?


Sebab itu Umno bukan sahaja membolehkan pihak lain mengoperasi aktiviti perjudian menerusi pemberian lesen dan berbagai kemudahan, malah parti itu sendiri turut terlibat secara aktif menganjurkannya. Kes Loteri Kebajikan Masyarakat itu adalah pemula sejarah. Ia dianjurkan kerajaan Umno sendiri.


Pendirian Umno yang kerap bercanggah dengan Islam sebegitu berterusan hingga ke era kini. Masakan anda sudah lupa bagaimana para pemimpin Umno menjadi pencetus idea dan pencanang utama untuk melesenkan (baca ‘menghalalkan’) pertaruhan sempena pertandingan bolasepak Piala Dunia tahun lalu?


Sebaliknya PAS bukan setakat membantah agenda mengharuskan judi oleh Umno sewaktu penubuhannya dulu, pendirian yang selari dengan tuntutan hukum Islam itu kekal dipegang PAS hingga kini. Anda boleh semak fakta sejarah dan akui keseriusan parti Islam itu menentang sebarang bentuk perjudian melibatkan bidang kuasa kerajaan dan ia menjadi agenda perjuangan PAS sepanjang zaman.


Sebagai bukti paling jelas, PAS serta-merta mengarahkan penutupan premis perjudian di Kelantan dan Terengganu yang diperintahnya secara mutlak. Di atas bidang kuasa terbatas dimilikinya ke atas lesen premis, kerajaan negeri ditadbir PAS telah melakukan sedayanya. Sedangkan lesen pengoperasian adalah di bawah Kementerian Kewangan dikuasai Umno.


Pendirian mengenai judi itu adalah pemerhatian pertama dari fakta penubuhan PAS, sekaligus menyerlahkan perbezaan pendirian antara PAS dan Umno. Al-Quran kata judi haram, PAS menegaskan judi haram, Umno sebaliknya menghalalkannya.


Maka jangan terkejut dan pura-pura hairan jika mutakhir ini kita dapati Umno bermati-matian menegaskan bahawa parti itu tidak pernah dan tidak akan bersedia melaksanakan hukum Islam, termasuk hudud, di dalam pemerintahannya! Ingat, sudah menjadi tradisi sejak berdekad lalu bahawa pendirian Umno dan hukum Islam memang tidak sehaluan.


Kedua, sepertimana disebutkan sepintas lalu di atas, bahawa pandangan mengenai hukum Islam selalunya sukar mendapat tempat di dalam Umno. Jangan dikatakan pandangan itu datang daripada luar suku-sakat parti itu, ia termasuk juga yang disuarakan kalangan pemimpin Umno sendiri.


Kes Ahmad Fuad membantah loteri itu sekali lagi menjadi contoh terbaik. Nampaknya itulah cara ‘terbaik’ Umno melayan ulama dan agamawan di dalam parti itu.


Meneliti perjalanan Umno dalam era kemudian ini pun, hakikat itu tidak jauh bezanya. Mana ada seorang yang dikenali sebagai ilmuan agama kekal lama dalam hierarki kepimpinan Umno? Kalau ada pun yang mampu bertahan agak lama, sejauh manakah suaranya berhubung hukum dan peraturan Islam diendahkan khalayak terbanyak parti itu? Sebaliknya pemimpin berlatar belakang agama itu sendiri hanyut dan tenggelam bersama sikap dan tabiat ‘haru-biru’ yang bersebati dengan parti itu.


Pengajaran ketiga daripada fakta penubuhan PAS di atas ialah bagaimana cetek dan terpesongnya penafsiran Umno terhadap istilah-istilah berkaitan agama. Lihat saja bagaimana ia tergamak melabelkan permainan judi yang jelas haram itu sebagai Loteri Kebajikan Masyarakat? Agaknya bagi Umno kebajikan itu tidak perlu mengambilkira halal atau haram, ya?


Sedangkan konsep kebajikan (al-Birr) disebutkan al-Quran dan diperjuangkan PAS semestinya tidak lari daripada paksi ‘beriman kepada Allah dan Hari Akhirat’. Ertinya kebajikan dimaksudkan PAS senantiasa mengambilkira pahala-dosa, selari digariskan Islam.


Sebab itu jangan terpedaya dengan dakwaan Umno kononnya Negara Berkebajikan diperjuangkan PAS sudah lama dilaksanakannya. Pemahaman Umno terhadap istilah ‘kebajikan’ itu amat dangkal dan terpesong dari landasan Islam.


Buktinya, ia dengan mudah mendakwa PAS telah meninggalkan matlamat menubuhkan Negara Islam apabila menyatakan hasrat ‘Membangun Negara Berkebajikan’. Kejahilan dan kebebalan Umno menyebabkan ia tidak faham bahawa Negara Berkebajikan itu salah satu wajah atau ciri bagi Negara Islam.


Di atas hakikat sama jangan pelik apabila Umno mencipta istilah ‘Islam Hadhari’ yang bukan sahaja janggal dari segi nahu Arabnya, malah mengelirukan fahaman masyarakat mengenai ajaran Islam itu sendiri. Akhirnya Umno sendiri pun malu menyebutnya dan kini ‘Islam Hadhari’ dianggap berkubur bersama jatuhnya sang pencetus istilah itu.


Ada pula pemimpin Umno tergamak menyandarkan fahamannya yang cetek mengenai ketetapan agama untuk dijadikan dalih daripada melaksanakan hukum Islam. Kononnya dia faham apa itu maqasid syariah. Bahawa maksud-maksud ketetapan syariat Islam itu mementingkan keadilan dalam mempertahankan kesucian aqidah, harta benda, nyawa dan lain-lain.


Lalu di atas penafsiran ceteknya terhadap maqasid syariah itu, dia sewenangnya menidakkan perlunya ditegakkan hudud dan qisas. Sedangkan sebagai orang beriman kepada Allah, sudah tentu kita dituntut mengakui dan meyakini bahawa tiada undang-undang dan hukum yang lebih adil dan lebih menjamin aqidah, nyawa dan lain-lain itu selain hukum diturunkan Allah Ta’ala sendiri.


Itulah sepintas lalu penelitian terhadap fakta-fakta melingkungi sejarah penubuhan PAS 60 tahun lalu. Di samping berbangga dengan kelangsungan perjuangannya hingga kini, penubuhan parti Islam itu juga selayaknya dianggap bu kti betapa tidak mahunya Umno kepada hukum dan peraturan Islam!


@..............................




Menjelang 60 Tahun, Rahsia Kekuatan Pas

Oleh Idris Ahmad
Pas akan menyambut ulang tahun ke 60 pada 1 Oktober 2011 di Dewan Melinium Kepala Batas. Pas memilih Pulau Pinang kerana nostalgia lama Pas yahttp://pasabah.files.wordpress.com/2008/02/bendera-8.jpgng dilahirkan secara rasmi pada 24 Nov 1951 di Bagan Tuan Kecil Seberang Perai.
Pas sudah muncul sebagai parti yang tertua di Malaysia, setelah Umno 1946 diharamkan oleh mahkamah, sedangkan Umno sekarang ialah Umno 1988.


Apakah rahsia Pas sehingga mampu menonggah arus dan badai taufan yang melanda, namun Pas dengan izin Allah mampu berada di persada politik tanah air bergerak dengan penuh izzah.
Semua ini kerana Pas mempunyai dasar Islam yang tulin. Walaupun Pas telah bertukar kepimpinan daripada berbagai latar belakang namun Pas tidak pernah menukar dasar, iaitu Islam sebagai mana termaktub di dalam Perlembagaan Pas fasa 3. Mereka memilih Pas kerana dasar, bukan kerana pemimpin.
Islam yang tulin sentiasa dinamik dan sesuai dengan semua masa dan keadaan. Oleh itu semua perhitungan yang dibuat semuanya bersandarkan kepada ajaran Islam. Pas tidak sekali-kali untuk menggadaikan prinsip Islam semata-mata untuk mendapat kemenangan dunia yang tidak seberapa
Islam yang diperjuangkan oleh Pas ialah Islam yang lengkap (syumul), merangkumi semua perkara samaada ibadah, politik, ekonomi, akhlak. Dalam erti kata yang lain yang merangkumi urusan hidup dan mati. Pas mahu memperjuangkan Din wa daulah (agama dan Negara)
Pas menerima konsep Islam secara keseluruhan “syumul”, bukan tempelan. Pas bukan menerima Islam pada perkara puasa tetapi menghalalkan judi. Pas bukan parti yang menerima hukum zakat tetapi tidak beriman dengan ayat hukuman zina. Pas bukan parti yang menerima hukum wajib puasa tetapi menolak ayat mengenai pengharaman arak.
Islam yang diperjuangkan oleh Pas bukan rekaan mana-mana pemimpin. Tetapi ia bersumberkan kepada apa yang diajar oleh Nabi Muhammad SAW yang mengajar dan mendidik melalui wahyu yang disampaikan kepada kita. Kerana Islam bukan satu doktren rekaan mana-mana pihak. Dengan itu apa sahaja tindakan yang kita lakukan ia bertitik tolak kepada apa yang diperlakukan oleh Nabi dan Rasul S.A.W. Islam yang diperjuangkan bukan satu yang hendak dipolitik atau mainan politik semata-mata. Oleh itu Pas berusaha untuk memertabatkan Islam apabila ia diberi kuasa. Bukan kita memperalatkan Islam untuk mencari sokongan. Walaupun Pas pernah dituduh merasuah syurga oleh pemimpin Umno.
Justeru itu Pas perlukan kuasa. Jika ada kuasa maka kita boleh melaksanakan apa yang diperintahkan oleh Allah SWT kepada kita. Sebaliknya kalau kita tidak mendapat kuasa maka segala kecantikan Islam hanya boleh terdapat dalam kitab feqah dan lipatan tamaddun Islam sahaja
Pas mengajak manusia kepada Islam bukan supaya taasub kepada mana-mana pemimpin. Oleh itu ahli Pas tidak akan keluar parti jika pemimpin mereka keluar parti, kerana perjuangan mereka bukan kerana individu. Berapa ramai pemimpin Pas yang melarikan diri dalam perjuangan tetapi kesetian ahli tidak pernah luntur, malahan Pas semakin berkembang. Keluarnya mereka daripada parti tidak memberi kesan apa-apa kepada parti.
Dato’ Samad Idris (Bekas Menteri Kebudayaan) telah memberi komentar mengenai perjuangan Pas seperti berikut,
“Faktor fanatik kepada perjuangan Pas tidak boleh diketepikan begitu sahaja, mereka setia dengan Pas, mereka sanggup dibakar hangus, direndam basah, dicincang lumat, oleh sebab itu Dato’ Mohd. Asri dan Mohd. Nakhaei keluar daripada parti mereka anggap melukut tepi gantang”. Utusan Malaysia 13hb. Disember 1990)
Rahsia kekuatan Pas yang lain ialah kerana Pas mempunyai ahli yang ikhlas. Mereka menyertai Pas tidak ada matlamat yang lain, kecuali untuk melihat Islam dihayati di negara ini. Penyertaan mereka tanpa dipaksa sebaliknya dengan kesedaran yang membuahkan iman di dalam diri mereka untuk berjuang bersama dengan Pas, selagi Pas berpegang dengan dasar Islam
Kehadiran mereka bersama Pas bukan untuk meminta sesuatu daripada Pas, sebaliknya mereka yang akan berusaha untuk memberi kepada Pas samaada di segi wang ringgit atau tenaga. Mereka sedar jika berjuang bersama dengan Pas telah terpahat di dalam fikiran mereka bahawa perjuangan ini susah dan payah. Mereka tidak mengharapkan sesuatu di dunia atau imbuhan daripada Pas atau wakil rakyat Pas. Kekuatan ini lah yang dimiliki oleh Pas kerana mempunyai ahli yang begitu ikhlas di dalam perjuangan.
Mereka mengahbiskan wang ringgit dan harta benda untuk diinfaq kepada Pas. Ini boleh dilihat setiap kali pilihanraya mereka mengeluarkan belanja sendiri tanpa mengharapkan daripada pemimpin atau parti.
Walaupun di kalangan mereka ini hanya bekerja sebagai pesawah, penoreh getah, buruh kasar, tetapi mempunyai jiwa yang besar untuk menumbangkan kezaliman di nagara ini. Tepatlah seperti sabda Rasulullah SAW”Bukanlah kaya itu, kaya harta, tetapi kaya yang sebenar ialah kaya jiwa”. Apabila calon yang bertanding menang, sedikit pun mereka tidak ungkit kerja buat dan meminta kembali imbuhan yang mereka labor semasa pilihanraya, cuma mereka harap laksana amanah parti dan
ingatlah kepada petugas parti yang memenangkan mereka.
Semua pengkaji politik akur bahawa kekuatan inilah yang membolehkan Pas bergerak sehingga kini dan menjadi saingan terdekat dengan Umno. Sekiranya Pas tidak mempunyai ahli yang ikhlas bagaimana Pas mampu bertahan sehingga kini. Bukan senang untuk melawan gergasi politik yang mempunyai seluruh kelengkapan untuk menghalang kebangkitan sokongan kepada Parti Islam Semalaysia Pas
Wasiat Allahyarham Profesor Dr Zulkifli Muhammad kepada wakil rakyat Pas selepas pilihanraya 1964 amat menyusut hati
“Saya perlu memberitahu saudara satu daripada syarat kejayaan bagi satu perjuangan ialah keikhlasan. Kita mungkin bodoh, mungkin jahil, mungkin tidak tahu apa, mungkin tidak kuat. Tetapi keikhlasan ada pada kita, maka ada harapan cita-cita ini dapat dilaksanakan. Tidak ada gunanya kita cerdik , pandai, kuat, sekiranya kita tidak ikhlas apa yang diperjuangkan. Kita sucikan tujuan kita kepada itu. Kita ketepikan kepentingan yang lain dari itu, ini perlu pada kita. Keikhlasan yang tidak ada belah baginya lagi. Keikhlasan yang tidak mengira yang lain selain dari apa-apa yang kita tuju di dalam perjuangan asal kita. Kejayaan orang yang dahulu pada diri kita, semuanya pada keikhlasan. Amat perlu keikhlasan ini, kita tanam, kita pupuk pada diri kita”
Sebab itu jika ada di kalangan ahli yang menyertai Pas mempunyai agenda yang tersembunyi mereka ini tidak akan kekal lama, samada mereka ini terbuang atau pun mereka yang membuang diri mereka sendiri.
Ahli Pas yang datang daripada berbagai peringkat dan darjat. Ahli-ahli Pas ada yang berkelulusan Ph.d hinggalah yang buta huruf. Mereka menyertai Pas bukan hendak dapat benda tetapi kerana cintakan Islam. Mereka sanggup menerima risiko yang berat daripada pihak yang berkuasa seperti tidak diberikan subsidi, anak tidak dapat biasiswa, dipotong bantuan kebajikan. Semuanya mereka sanggup menerima kerana perjuangan Islam yang dibawa oleh Pas. Kehadiran mereka dalam program ceramah atau program parti tanpa diupah dan disuruh, sanggup untuk berbelanja berbelas-belas ringgit semata-mata untuk mendengar ucapan pemimipin mereka yang dicintai dan menderma kepada perjuangan
Ahli yang ikhlas walaupun buta huruf adalah lebih baik daripada mempunyai ijazah berjela-jela tetapi boleh dibeli oleh Umno. Ahli-ahli Pas yang menerima tarbiah yang jelas mereka tidak rela membiarkan maksiat dan berkompromi dengan program maksiat. Umno bimbang hendak membuat program maksiat kerana takut kepada Pas yang sentiasa menentang program yang berunsur maksiat.
Rahsia kekuatan Pas yang lain ialah kerana ia didokong oleh ulama’ dan mereka yang mempunyai latar belakang agama. Kebetulan penubuhan Pas kerana kesedaran untuk membentuk jamaah yang melakukan kerja-kerja para nabi dan Rasul yang terdahulu iaitu mengajak kepada kebaikan dan mencegah daripada melakukan perkara munkar.
Ulama’ yang memahami agama dan perintah Allah akan melibatkan diri bersama dengan Pas. Penglibatan mereka secara langsung telah memberikan impak yang besar kepada Pas. Kerana sikap orang melayu yang begitu intim dengan orang agama telah berjaya memberi kesan yang positif kepada perjuangan Pas. Penyertaan orang agama bersama Pas kerana serasi dengan apa yang mereka belajar di sekolah, pondok atau universiti. Sebab itu Mahathir Mohd Khir pernah menulis Pas mempunyai kaitan dnegan 3P, iaitu padi pondok dan Pas.
Memang ini terbukti tempat yang kuat pengajian agama maka di situlah akan menjadi pengkalan Pas. Sebab itu Pas berkembang di Kelantan walau pun penubuhanya di Seberang Perai, kerana Kelantan mempunyai institusi pondok yang banyak.
Pondok menjadi pengkalan Pas walaupun ia bukan markaz Pas tetapi secara tidak langsung segala idea dan fikrah yang bawa oleh Tok Guru telah mempengaruhi orang awam yang untuk menyokong Pas. Sebab itu jika ada Tuan Guru pondok yang menyokong perjuangan Umno, maka pondoknya tidak ramai penghuninya akhirnya pondok tersebut mati begitu sahaja.
Dokongan di kalangan profesionl dan aktivis hasil daripada pentarbiahan yang mereka dapat daripada ulamak telah menjadi nilai tambah kepada Pas. Mereka ini pula berusaha untuk mendekati golongan yang mungkin tidak mampu untuk duduk bersila di masjid atau di surau bersama dengan Tuan Guru. Apabila orang ramai melihat sikap keterbukaan Pas dan pelbagai ragam yang memimpin Pas maka mereka akan tertarik bersama dengan perjuangan Pas.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan