Khamis, 27 Oktober 2011

Ramai Muslim tak kuasai ilmu agama

Oleh USTAZ ZAINUDIN HASHIM

 ISLAM adalah cara hidup serba sempurna yang ditinggalkan oleh baginda Rasulullah s.a.w sejak 14 abad yang lalu. Tidak ada keterangan daripada baginda yang menghalang seseorang Muslim itu mendalami apa sahaja bidang ilmu selagi ia boleh dimanfaatkan kepada diri sendiri dan orang ramai termasuklah ilmu ‘Teknologi Maklumat’.


Sama ada ilmu-ilmu yang bersifat keagamaan ataupun ilmuilmu yang dikategorikan oleh para ilmuan sebagai ilmu akademik/ duniawi dan sebagainya seperti sains, fizik, kaji hayat, biologi, matematik dan ilmu alam selagi mana ia boleh dimanfaatkan buat masyarakat adalah juga dikira sebagai ilmu agama.

Malah baginda s.s.w ada menegaskan dalam sebuah hadis yang bermaksud : “Sesiapa yang mahukan (kejayaan) di dunia ini, maka hendaklah dia berilmu, jika dia mahukan (kejayaan) di akhirat, maka hendaklah dia berilmu dan jika dia mahu kedua-duanya (dunia dan akhirat), maka hendaklah dia juga berilmu.”
Jelas daripada penjelasan baginda, menunjukkan betapa baginda mengambil perhatian berat terhadap penggarapan ilmu, terlebih lagi dalam konteks hari ini di mana ramai di kalangan orang Islam semakin jauh daripada penguasaan ilmu-ilmu agama yang mampu menjana diri mereka manusia berguna buat agama mereka sendiri, negara mahupun bangsa.
Sedangkan ilmu-ilmu agama seperti ilmu tafsir al-Quran serta tajwidnya, ilmu hadis, Sirah Nabi, fiqh, ilmu tauhid (akidah) dan cabang ilmu-ilmu Syariah serta Usuluddin adalah asas yang mesti dikuasai, didalami serta dilaksanakan oleh mereka yang bergelar Muslim, sama ada lelaki ataupun perempuan, namun hakikat ini tidak berlaku kepada umat Nabi Muhammad pada zaman mutakhir ini.
Kelas fardu ain lengang Kekurangan hadirin untuk mempelajari ilmu-ilmu fardu ain di masjid-masjid atau surau-surau disebabkan banyak faktor, sama ada kerana pihak pengurusan masjid yang tidak efisyen, teknik pembelajaran yang tidak selesa atau mantap, kelengkapan yang tidak mencukupi atau terdapat persoalan yang tidak mungkin terjawab? Kenapa jadi demikian, sedangkan program-program lain yang bersifat hiburan mendapat tempat di hati manusia pada hari ini, di mana silapnya?.
Justeru dalam hal ini, Allah SWT menjelaskan bahawa hati manusia memang cenderung kepada yang jahat terlebih dahulu, kemudian baru cenderung kepada yang baik, hati yang jahat itu hasil daripada penyingkiran manusia kepada program-program bersifat ilmiah, apatah lagi kelas-kelas ilmu agama.
Merekalah yang bertanggungjawab merosakkan hati mereka sekali gus menjauhkan diri daripada Allah SWT yang telah mencipta mereka, sebagai contoh apabila seorang Muslimah yang tidak menguasai ilmu agama, sanggup menukar ciptaan Allah yang ada pada dirinya dengan memerahkan rambut, tidak bertudung, mencukur bulu kening, bersolek dan sebagainya, tidakkah semua tindakan itu mencabuli larangan Allah, tidakkah ia dinamakan sebagai penentangan secara berani terhadap-Nya, kenapa, sebab tidak ada ilmu agama dalam diri.
Muslim jauh daripada roh dan ruang lingkup agama Apabila ilmu agama tidak lagi menjadi pegangan, teras atau asas dalam kehidupan Muslim, maka segala tindakan yang dilakukan itu bukanlah mencerminkan amalan yang diterima di sisi Allah SWT, malah ia memperlihatkan kedangkalan manusia itu kerana tidak mahu berusaha menjadi Muslim yang terbaik di sisi Allah SWT.
Tidak hairanlah bercambahnya golongan remaja Muslim yang dikaitkan dengan kumpulan mat rempit, bersaing untuk glamour dalam bidang seni hiburan atau sukan tanpa perlu bertungkus lumus dalam bidang pengajian, terlibat dalam kes-kes juvana seperti seks bebas, pembunuhan, rompakan, penipuan dan bermacam-macam lagi.
Mereka tidak dibiasakan dengan elemen-elemen agama seperti adab-adab ketika berhadapan dengan orang yang lebih tua, adab makan, adab tidur, adab membuang air besar atau kecil (khususnya di tandastandas awam), adab berjiran, adab pergaulan antara lelaki dan perempuan, adab bercakap dengan sopan dan sebagainya, semuanya hanya tinggal di dalam kitab-kitab yang berhabuk tanpa disentuh oleh pemiliknya.
Kalaupun mereka menunaikan solat, mereka tidak diajarkan dengan amalan toma’ninah, mereka yang tidak menguasai ilmu tajwid dan fiqh. Mereka menghabiskan solat secara ekspres, solat Isyak empat rakaat dilakukan dalam tempoh 2-3 minit, mereka banyak menghabiskan masa di kedaikedai kafe siber, menonton pertandingan sukan, menonton rancangan hiburan, sanggup habiskan masa untuk chating menerusi internet, tetapi tidak sanggup menghabiskan masa untuk agama Allah seperti duduk lama sedikit mendengar kuliah dan sebagainya.
Apakah ini jenis remaja yang diinginkan oleh Islam bagi menjadi bentengnya dari serangan musuhmusuh yang datang dari pelbagai penjuru, sedangkan mereka juga tidak kenal siapa musuh mereka sebenarnya, malah terdapat di kalangan mereka menampilkan diri dengan pakaian yang dipakai oleh pihak musuh.
Kenapa dan kenapa, tidak lain kerana diri mereka tidak terbiasa atau dengan lain perkataan tidak menghubungkan diri dengan ilmu-ilmu agama, maka segenap tindakan langsung tidak mencerminkan dirinya sebagai Muslim yang benar-benar komited kepada agama dan sedia berkorban kerananya. Peranan ilmu-ilmu fardu ain dalam menjana peribadi Muslim sebenar
Ilmu Fiqh:
Satu disiplin ilmu yang menekankan aspek luaran/ lahiriah Muslim dengan amalan-amalan harian seprti solat, puasa, haji, zakat dan sebagainya.
Ilmu Akidah:
Satu disiplin ilmu yang menekankan persoalan dalaman/ batin khususnya yang berkaitan secara langsung kepercayaan dan hubungan Muslim dengan Allah.
Ilmu Tasawwuf:
Satu disiplin ilmu yang menekankan persoalan hati dari sudut ketenangan, kesempurnaan dan pemurniaannya.
Ilmu Tafsir:
Satu disiplin ilmu yang menyediakan bahan ayatayat al-Quran dalam pelbagai pendekatan dalam kehidupan harian Muslim.
Ilmu Hadis:
Satu disiplin ilmu yang membekalkan motivasi ke arah penjanaan Muslim hakiki.
Ilmu Sirah Nabi:
Satu disiplin ilmu yang menyediakan kefahaman menyeluruh bagi menyelesaikan masalah diri, masyarakat, negara dan lain-lain.

60 tahun PAS pertahan akidah

Oleh ABDUL SHUKUR HARUN
PAS memperkenalkan politik Islam, membersihkan fahaman karut marut sekular-asabiyahttps://blogger.googleusercontent.com/img/b/R29vZ2xl/AVvXsEgqeBDw-qcNe7Nhoaegb3Rav4hBs1Wdza-CEUZpI0FENS4-tajLzg-g9wE_alQaprnwBsjdfDlBZ1fIwWSuACRVN-Tm4te6pucgtKwN6lDrwgtN5CKcO81b8ViF8dacMBA62pU2nkW89qo/s400/Bendera_PAS.jpgh bahawa ‘politik suku agama suku’, tidak ada politik dalam agama. Inilah fahaman yang melumpuhkan akidah umat.
KETIKA masyarakat heboh mengenai persoalan mempertahankan akidah umat dan ancaman mengenainya, tentu saja bagi mereka yang rasional mengakui bahawa selama 60 tahun lamanya PAS telah berjuang mempertahankan akidah umat.


Perjuangannya ini ditandai pelbagai cabaran daripada pelbagai pihak. Ia bermula pada zaman PAS miskin dan terpinggir, pejuang meredah sawah dan semak samun untuk menyampaikan ceramah, tidak henti-hentinya untuk memantapkan akidah umat, mengenalkan politik Islam.
Sepanjang usaha dan pengorbanannya itu pendukung PAS diburu oleh pihak berkuasa, ditahan di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) dan menderita, penghinaan, dirampas haknya, malah ada yang terbunuh.
Banyak lagi derita sengsara pejuang PAS yang boleh dirumuskan bahawa semuanya untuk mempertahankan akidah umat. Tidak mungkin ada pihak yang waras fikirannya – walau dari pihak mana pun – yang boleh menafikan hal ini.
Ini belum lagi pelbagai bentuk diskriminasi yang ditimpakan oleh pihak pemerintah Umno-BN terhadap PAS dalam pelbagai bentuk. Senarainya amat panjang dan cukuplah untuk mengatakan bahawa ‘kegetiran yang dialami oleh pejuang PAS selama ini adalah kemanisan perjuangan’.
Pada zaman permulaannya, ketika PAS miskin dan terpinggir, dicemuh oleh sesetengah orang Melayu sendiri, namun pejuang PAS – dengan keringat dan air mata - dengan kereta buruk, motosikal dan basikal, malah beca menjadi kenderaan penting para pendukung melaksanakan tugas dengan dibasahi peluh sekujur tubuh. Malah mereka betugas hingga larut malam, berselimutkan langit dan dibasahi embun malam.
Mereka tidak terfikirkan pun sebarang ganjaran dan inilah sebenarnya kekuatan tarbiyah amali yang menjadi dinamika pendukung PAS mempertahankan akidah umat.
Dalam usahanya yang getir mempertahankan akidah umat, PAS memperkenalkan politik Islam, membersihkan fahaman karut marut sekular-asabiyah bahawa ‘politik suku agama suku’, tidak ada politik dalam agama. Inilah fahaman yang melumpuhkan akidah umat dan inilah fahaman yang sangat menyesatkan.
Bagi pendukung PAS, mereka tahu betapa getirnya perjuangan membersihkan akidah sesetengah umat Islam yang telah dirasuk oleh fahaman sekular ini. Perjuangan ini sangat lama dan pahit. Ada kalangannya pendukung PAS terpaksa ‘bertarung’ dengan saudara maranya sendiri yang terperangkap dengan fahaman sekular ini.
Perjuangan PAS membersihkan atau memurnikan akidah umat ini tidak mungkin dapat dipadam dengan mudah oleh sesiapa pun. Dan ini, berkat istiqamah pendukung PAS sepanjang perjuangnnya 60 tahun.
Ramai orang telah menulis sejarah PAS dalam pelbagai perspektif, malah ratusan tesis mengenainya telah ditulis.
Semuanya ini menunjukkan bahawa kehadiran PAS mempertahankan akidah umat dan mengembangkannya menerusi dunia politik tanah air adalah suatu hakikat yang tidak ada siapa pun boleh menafikannya.
Seperti saya katakan PASlah parti politik Islam yang mengenengahkan konsep bahawa Islam dan politik tidak boleh dipisahkan, suatu natijah yang diambil daripada petunjuk al- Quran dan hadis. Justeru prinsip asasnya dibina berasaskan al- Quran dan Sunnah itu.
Selama 60 tahun ia hadir dan mengalir dalam persada politik tanah air, mempertahankan Islam dan menegakkan demokrasi serta membela rakyat pelbagai kaum hingga kini.
Walaupun PAS mengalami perubahan demi perubahan di segi pendekatan, dilihat begitu terbuka dan toleransi, ia masih tetap berada dalam orbit Islam. Ia sama sekali tidak berkompromi dengan dasar dan perjuangannya.
Perubahan pendekatan yang dilakukan oleh PAS menyebabkan para pemerhati politik tertegun dengan toleransi dan keterbukaan PAS, sementara sesetengah agamawan yang tidak terdedah dengan real politic baru Islam merasa cemas dengan perubahan ini.
Dalam masa yang sama, parti lawan PAS pula, demi untuk meraih keuntungan politik mereka, segera menuding jari kononnya PAS telah menggadaikan prinsip perjuangan Islamnya. Inilah fitnah besar yang dihadapi PAS.
Pada hal perubahan pendekatan dalam kerangka tahalluf siasai dengan parti lain ialah hasil perbincangan serius pemimpin parti dan diluluskan oleh kepimpinan ulama. Ini adalah pendekatan yang sangat dinamik.
Mereka melakukan perubahan ini seiring dengan pendekatan baru yang diambil oleh beberapa gerakan Islam dunia, seperti An- Nahdah, pimpinan Rashad Ghaounushi di Tunisia dan Ikhwanul Muslimin di Mesir yang kini menampakkan kejayaan.
Dengan tahalluf siasai, PAS telah berjaya membina jambatan kukuh dengan kalangan bukan Islam menyebabkan semakin ramai yang berusaha memahami Islam.
Sebab itu ketika mengulas usaha pihak NGO mengadakan Himpunan Sejuta Umat untuk mempertahankan akidah umat Islam, saya merasa sangat wajar kita meneliti akan pesan Presiden PAS, Dato’ Seri Abd Hadi Awang yang mengingatkan kepada semua pihak yang terlibat itu agar bertindak selaras dengan peruntukan undang-undang, dalam menjamin kerahmonian negara yang berbilang bangsa dan agama.
Sebarang usaha untuk menimbulkan polemik perkauman dan agama, kata beliau, akan membawa negara kepada satu suasana yang tidak menguntungkan mana-mana pihak.PAS, katanya memandang berat sebarang usaha mana-mana pihak yang cuba mengambil kesempatan untuk kepentingan politik dan pilihan raya.
Menenurut Presiden PAS itu lagi, pengukuhan akidah umat Islam hendaklah dilaksanakan menerusi jalan dakwah secara damai sebagaimana Islam telah diterima oleh masyarakat rantau ini secara damai.
Bagi saya, inilah pandangan jauh dan penuh hikmat dari pemimpin PAS, sebuah gerakan Islam yang telah berjuang 60 tahun lamanya mempertahankan akidah umat Islam. Ia kini dilihat sangat terbuka dengan toleransi yang sangat tinggi, namun sama sekali tidak berkompromi akan dasar perjuangannya.

Jumaat, 7 Oktober 2011

Masyarakat majmuk bukan alasan tolak hudud

Sekretariat Bersama   
Rangkaian gerakan Islam ABIM-PKPIM-WADAH merakamkan rasa terganggu dan terkilan dengan  gejala sikap kurang bertanggungjawab dalam menyikapi isu hudud yang kembali dipolemikkan dan dipolitikkan sebagaimana  tercermin dalam kenyataan-kenyataan pelbagai pihak, termasuk yang mengeksploitasikannya dengan motif semata-mata untuk kepentingan politik sempit,  juga yang menanggapinya secara dangkal, nakal dan provokatif.
Isu penting dan berimplikasi besar ini seharusnya ditanggapi dan disikapi dengan rasa tanggungjawab keagamaan, amanah keilmuan, dan  kesedaran kewarganegaraan  sesuai dengan nilai-nilai budaya bangsa yang bertamadun dan beradab.
Bagi kaum Muslimin yang menginsafi hakikat bahawa al-Islam adalah al-din yang harus diterima secara kaffah, utuh dan menyeluruh (`aqidah dan syariatnya), pelaksanaan hukum hudud adalah suatu tanggungjawab keagamaan.
Justeru, ia adalah bahagian daripada undang-undang jenayah (al-`uqubat) yang menjadi salah satu komponen utama syari`at Islam.  Demikianlah hakikatnya, pelaksanaan hukum hudud harus dilihat sebagai bahagian integral daripada proses pelaksanaan syari`at (tatbiq al-shari`ah) keseluruhannya,   meliputi segala bidang cakupannya.
Syari`at adalah cara hidup yang lengkap (the complete way of life) yang mengatur segala dimensi kehidupan manusia:  hubungannya dengan Tuhan dan hubungannya dengan sesama manusia sebagaimana yang diperincikan dalam pelbagai disiplin ilmu seperti `ibadat, munakahat, mu`amalat dan jinayat.  Dengan demikian konsep pelaksanaan syari`at harus difahami dalam pengertian luas,  termasuk dimensi hukum-hakamnya,  semangatnya, akhlaknya, dan maqasidnya iaitu objektif pemeliharaan agama, jiwa, akal, keturunan dan harta.  Malang sekali andainya pelaksanaan syari`at direduksikan menjadi hanya sekadar hukum “potong tangan” dan “rejam”.
Dalam menyikapi hukum Ilahi (termasuk hudud) umat Islam tidak  mempunyai pilihan selain patuh (sami`na wa ata`na),  menepati ikrar raditu bi ‘Llahi Rabban (aku redha dengan Allah sebagai Tuhan) yang berimplikasi kerelaan menerima hukum-hakam-Nya, dan pengakuan bahawa ia adalah hukum yang terbaik dan teradil.
Dalam hal ini akal manusia harus tunduk kepada wahyu, menerima hukum Tuhan seadanya, bukan memandai-mandai memperlekeh dan mempersenda hukum yang telah ditanzilkan oleh Tuhan Ahkam al-hakimin sebagai hukum yang barbaric dan zalim. Manusia mukmin sebijak mana pun seharusnya menerima hakikat bahawa Tuhanlah yang Maha Tahu apa yang membawa kebaikan dan apa yang membawa keburukan (…ya`lamu al-mufsida min al-muslih).
Apa yang ditentukan oleh Tuhan, itulah keadilan.  Tuhan tidak berkepentingan ketika menentukan sesuatu hukum, tidak seperti manusia yang selalu membuat peraturan-peraturan yang didasari motif memelihara kepentingan diri dan kelompok.
Ternyata penerimaan terhadap syari`at (termasuk hukum hudud)  sangat terkait dengan `aqidah atau iman.  Justeru,  memang syari`at selamanya tegak di atas asas `aqidah. Demikianlah dua serangkai yang tidak dapat dipisahkan,  dan kerananya al-Qur’an selalu menyebut kedua-duanya dalam bentuk gandingan: iman dan amal salih (`aqidah dan syari`ah).  Dengan kata lain, tidak ada syari`at tanpa `aqidah.    Berasaskan premis tersebut,   bagi umat Islam persoalannya bukan lagi perlu atau tidak  melaksanakan  hudud. Yang menjadi persoalan adalah bagaimana melaksanakannya.
Syari`at Islam adalah bersifat abadi dan universal, dan kerana itu ia sesuai dan relevan sepanjang masa dan di semua tempat, termasuk dalam masyarakat majmuk. Kemajmukan masyarakat tidak boleh dijadikan alasan untuk umat Islam menolak hukum hudud. Kemajmukan adalah fenomena yang tidak asing dalam sejarah pelaksanaan hukum Islam. Sejak zaman Perlembagaan Madinah fenomena kemajmukan sudahpun wujud.
Penolakan atas alasan tersebut dikhuatiri boleh menjejaskan `aqidah kerana ia menyiratkan anggapan kelemahan hukum Allah, yang bererti juga kelemahan Allah.  Seolah-olah Tuhan terlepas pandang tentang adanya kaum Muslimin di tengah masyarakat majmuk.
Kemajmukan adalah ciptaan Allah Yang Maha Esa sebagaimana hukum syari`at juga adalah ciptaan Allah Yang Maha Esa.  Faham Keesaan Allah berimplikasi bahawa  segala ciptaan Allah terjalin dan terpadu dalam kesatuan tauhidik yang harmonis.
Hudud sebagai bahagian daripada syari`at adalah amanah Allah yang harus dilaksanakan dengan bijaksana (berhikmah) dan penuh tanggungjawab demi mencapai objektif keadilan Ilahi.  Untuk itu proses pelaksanaan hukum hudud harus mematuhi kaedah-kaedah perubahan yang realistik dan strategik.
Antara realiti yang harus diambil kira termasuklah hakikat bahawa pelaksanaan hudud dalam konteks Malaysia ketika ini diperjuangkan menerusi proses demokrasi, dan dalam kerangka perlembagaan negara. Selain itu ia juga diperjuangkan di tengah masyarakat majmuk, dan di tengah suasana wujudnya masalah al-ummiyyat al-diniyyah atau gejala “buta agama” yang cukup fenomenal.
Mengambil kira realiti tersebut, perjuangan melaksanakan syari`at harus didasarkan kepada fiqh al-awlawiyyat, perubahan yang menepati urutan keutamaan dengan mengenalpasti apa yang harus didahulukan dan apa yang perlu dikemudiankan.
Perjuangan melaksanakan syari`at juga harus menepati kaedah dan pendekatan al-tadarruj, beransur-ansur, subtle dan gradual.   Minda umat keseluruhannya harus dipersiapkan untuk sedia menerima perubahan (hidup dalam kawalan syari`at dan hududu ‘Llah).
Para penguasa perlu dipersiapkan dengan political will, tekad politik yang kental untuk melaksanakan syari`at.  Rakyat massa pula harus dipersiapkan dengan ilmu, kefahaman dan kesedaran keagamaan agar siap mendukung pelaksanaan syari`at. Sesungguhnya suasana yang kondusif adalah keperluan utama menjayakan agenda perubahan. Dengan demikian pelaksanaan syari`at  tidak akan berupa suatu pemaksaan ke atas masyarakat yang enggan (reluctant society) kerana jahil dan keliru.
Sementara itu mekanisme dan jentera pelaksananya juga harus dipersiapkan dengan tahap profesionalisme,  kompetensi dan integriti yang tinggi. Tahap kemampuan yang sedemikian adalah syarat yang tidak boleh dikompromikan demi menjamin tercapainya objektif keadilan,  mendidik serta menginsafkan penjenayah, dan lebih penting daripada itu dapat melindungi mangsa dan masyarakat seluruhnya.
Memang demikianlah falsafah hukum dalam Islam, tidak seperti undang-undang rekaan manusia yang  terkesan  bersimpati kepada penjenayah sehingga mengabaikan tanggungjawab melindungi korban. Akibatnya jenayah berleluasa, sedang masyarakat hidup dalam ketakutan.
Ternyata pelaksanaan hudud sebagai bahagian daripada pelaksanaan syari`at bukan hanya urusan para fuqaha’ dan ahli undang-undang, tetapi urusan kolektif pelbagai pihak:  penguasa, ahli politik, pentadbir, pendakwah, pendidik, ilmuwan, cendekiawan dan lain-lain.
Para penguasa harus berusaha menggunakan kuasa mereka sejauh yang dimungkinkan oleh realiti tempat, masa dan kemampuan. Pendakwah dan pendidik harus berjihad membina generasi dan umat Muslim yang komited, berjiwa dan berfikrah Islamiah. Para ilmuwan dan cendekiawan harus berjuang membasmi kejahilan dan kekeliruan masyarakat tentang hakikat syari`at termasuk hukum hudud.
Masyarakat umumnya harus disedarkan bahawa perjuangan mendaulatkan syari`at tidak hanya sebatas melaksanakan hukum jenayah,  tetapi mencakupi daerah yang lebih luas,  meliputi segala usaha ke arah kehidupan berkualiti (hayatan tayyibah) yang penuh barakah,  adil dan sejahtera, bermaruah dan berakhlak mulia. Segalanya diperjuangkan secara terpadu, seiring dan sehaluan.
Hukuman hudud ke atas pencuri misalnya, harus dilaksanakan seiring dengan perjuangan meningkatkan taraf hidup rakyat dan menegakkan prinsip  keadilan sosial, pemerataan kueh negara, dan seterusnya memerangi amalan pembolotan kekayaan negara oleh kaum kroni. Dengan demikian hukuman hudud ke atas pencuri hanya dilaksanakan setelah mengambil  kira konteks sosio-ekonominya.
Andainya jenayah mencuri itu berlaku dalam keadaan kecukupan dan  taraf hidup yang selayaknya (reasonable),  wajarlah pelakunya dihukum hudud. Memang ia tidak layak hidup dalam masyarakat manusia yang beragama dan berbudaya.
Demikianlah hakikatnya, undang-undang jenayah Islam tidak dilaksanakan secara terpisah dari syari`at keseluruhannya. Ia selamanya terkait dan terpadu dengan komponen-komponen syari`at lainnya, termasuk komponen kerohanian seperti iman, taqwa, dan nilai-nilai akhlak mulia lainnya. Dalam masyarakat pengamal syari`at secara utuh dan terpadu seperti itu tidak akan banyak kes jenayah yang berlaku.
Gambaran tentang  masyarakat yang penuh dengan potongan-potongan tangan yang berserakan akibat hukum hudud sebenarnya hanya imajinasi jahil dan mengada-ngada. Keadaan yang mengerikan seperti itu tidak pernah terjadi sepanjang sejarah pelaksanaan hukum hudud pada masa lalu.
Dalam kaitan ini terdapat catatan bahawa sepanjang sejarah generasi Islam seratus tahun pertama (dari bi`thah hingga pertengahan era Umawi) hukuman hudud zina hanya dilaksanakan sebanyak enam kali,  sementara hukuman hudud ke atas pencuri  dilaksanakan hanya empat kali sepanjang tempoh yang sama (seratus tahun).
Perjuangan mendaulatkan syari`at ketika ini terpaksa berhadapan dengan kenyataan bahawa Islam,  terutama undang-undang jenayahnya telah lama dimomokkan dengan pelbagai label negatif: kejam, barbaric dan menakutkan.  Dalam kaitan inilah pentingnya usaha pemulihan citra Islam sebagai agama yang ramah dan pembawa rahmah.
Islam tidak datang untuk mendera,  tetapi untuk menyejahterakan (aslim taslam!).  Tanggapan negatif terhadap syari`at  di kalangan sebahagian umat Islam dan bukan  Islam harus ditangani dengan usaha pencerahan,  memberikan kefahaman menerusi pendekatan dialog yang meyakinkan dan penuh hikmah. Semua pihak, terutama warga bukan Islam seharusnya bersikap terbuka dan objektif dalam memahami dan mempersepsikan Islam. Untuk itu mereka perlu mewaspadai jebakan Islamophobia yang disebarkan oleh dalang-dalang konspirasi global.
Dalam masyarakat berbilang kaum dan agama seperti Malaysia,  semangat toleransi antara agama harus sentiasa dipupuk dengan menyuburkan sikap saling hormat, termasuk mengakui hak umat Islam mengamalkan agamanya  (`aqidah dan syari`at Islam),  sebagaimana umat Islam menghormati agama lain dan mengakui hak penganut-penganutnya mengamalkan agama masing-masing.
Dalam hal ini warga bukan Islam perlu memahami bahawa hak mengamalkan agama dalam konteks umat Islam adalah meliputi pengamalan hukum-hakam agama (Islam) dalam segala bidang, termasuk bidang hukum jenayah.
Justeru, pelaksanaan hukum hudud di kalangan umat Islam adalah sebahagian daripada hak beragama dan hak mengamalkan agama anutan mereka. Warga bukan Islam tidak perlu merasa terganggu dengan pelaksanaan hukum tersebut kerana ia tidak melibatkan mereka dan tidak menjejaskan hak mereka untuk beramal dengan ajaran agama anutan mereka sendiri.
Sesuai dengan semangat toleransi antara agama, semua pihak harus menghentikan segala bentuk perlakuan dan pernyataan yang  menghina dan  mempersenda agama.  Kenyataan-kenyataan sinis dan provokatif yang kadang-kadang diucap atau diungkapkan oleh media atau pemimpin masyarakat jelas tidak membina dan tidak mendidik, juga bertentangan dengan nilai-nilai kesopanan dan kesusilaan bangsa yang beradab dan bertamadun.

Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM),
Persatuan Kebangsaan Pelajar Islam Malaysia (PKPIM),
Wadah Pencerdasan Umat Malaysia (WADAH).

Mind Game: Demotivate

SEKITAR tahun 1920-an hingga pertengahan 1940-an, orang Melayu di kampung-kampung telah diasuh minda mereka supaya berbangga menjadi petani dan tidak lebih daripada itu. Kisah-kisah silam yang dikutip melalui pertemuan dengan orang-orang lama banyak menceritakan mengenai cara bagaimana minda mereka diasuh oleh British supaya cenderung ke arah itu, berbangga dengan hanya menjadi petani.
Kebanyakan kisah itu dikutip daripada bekas-bekas guru, bekas-bekas profesional Melayu yang telah berumur dan juga daripada orang-orang kebanyakan yang pernah melalui tempoh selama lebih 20 tahun itu. Mereka menjadi saksi kepada kerakusan British merombak pemikiran Melayu supaya berfikiran mundur dan rendah ‘self-esteem’ dalam masyarakat majmuk Malaya ketika itu.
Seorang bekas guru pernah bercerita kepada saya mengenai baris-baris lirik dalam lagu-lagu yang disifatkan sebagai patriotik oleh British telah meresap jauh ke dalam jiwa sebilangan besar orang Melayu ketika dia masih bersekolah pada waktu itu.
Sebahagian lirik itu berbunyi:
“Kami Melayu,
Bangga jadi petani,
Hidup di kampung tempat kami,
Tempat kami hidup kami mati,
Kami Melayu,
Bangga jadi petani,
Hanya ini kerja kami.”
Dalam pertemuan dengan golongan profesional Melayu yang telah berumur juga diceritakan mengenai lirik lagu yang sama meskipun mereka telah lupa mengenai tajuk lagu yang dimaksudkan.
Keterangan itu selari dan bersambung-sambung menandakan keadaan itu memang wujud antara tahun 1920-an hingga pertengahan 1940-an sebelum British menukar kepada lagu lain yang dinyanyikan di sekolah-sekolah kampung di beberapa negeri yang menerima Residen Inggeris.
Ia kemudian disokong ketika pertemuan dengan seorang bekas profesional Melayu yang sudah berumur lanjut. Dia memberitahu, semasa dia mahu meminta biasiswa pelajaran daripada kerajaan British untuk menyambung pelajaran dalam bidang undang-undang dan bertemu dengan seorang pegawai British dalam satu temuduga.
Anak Melayu itu menyatakan hasrat untuk menyambung pelajaran dalam bidang perundangan di London selepas Jepun menyerah kalah, namun pegawai British dengan angkuh menempelak anak Melayu pintar itu dengan berkata:
“Kamu tak perlu jadi peguam. Jadi petani adalah yang terbaik buat bangsa kamu.”
Mendengar kata-kata itu, anak Melayu itu kemudian beredar meninggalkan pejabat pegawai British itu dengan berkata:
“Kamu Orang Putih (British) akan lihat satu hari nanti, orang Melayu yang kamu hina selama ini akan bangkit dan bangga jadi apa saja yang mereka mahu, jadi lebih baik daripada kamu.” Kata-kata itu dilafazkan begitu sahaja tanpa ada unsur ugutan.
Lagu-lagu ‘mind-set’ yang dinyanyikan di sekolah-sekolah Melayu pada sekitar tempoh itu berlegar selama 25 tahun sebelum British berundur ke Eropah akibat kedatangan Jepun ke Tanah Melayu semasa Perang Dunia Kedua. Ia adalah satu tempoh yang agak lama dalam ‘mengasuh’ minda orang Melayu supaya hanya berbangga menjadi petani tanpa sebarang cita-cita untuk menjadi lebih baik daripada pekerjaan petani itu.
Melayu pada masa itu ditempatkan di kampung-kampung dengan hanya menjadi pesawah dan penanam buah serta sayur-sayur, mengutip ulam, menangkap ikan, menjahit jala dan lain-lain pekerjaan tradisional.
Melayu dibiarkan terperap di kampung-kampung tanpa diberi perhatian sewajarnya oleh British dalam aspek pelajaran dan juga kesihatan. Melayu dibiarkan melarat, miskin tanpa harta dan miskin tanpa ilmu melainkan kaya dengan sikap bangga sekadar menjadi petani. Semua itu berlaku ketika British mengaut kekayaan Tanah Melayu pada masa Melayu dibodohkan oleh sikap naif dan sikap lurus bendul mereka sendiri.
Akibatnya, sebilangan Melayu (bukan semua) menjadi manja mengharapkan bantuan daripada orang putih walaupun British tidak serius memberi perhatian sewajarnya kepada mereka di kampung-kampung. Bangsa yang sejak beratus tahun lalu terkenal dengan kehebatan perdagangan telah mundur akibat menjadi manja mengharapkan perhatian daripada British.
Semua itu berlaku selepas minda mereka berjaya diubah dengan hanya menggunakan beberapa buah lagu ‘puaka’ untuk dinyanyikan oleh orang Melayu sendiri yang naif dan lurus bendul di negeri-negeri tertentu. Jika sangsi dengan kebenaran kisah ini, sila rujuk kepada orang tua yang berumur dan pernah melalui zaman kanak-kanak ketika 1920-an hingga pertengahan 1940-an.
Kisah silam perjalanan bangsa yang dititipkan itu hanya sebagai pembukaan bagi artikel ini supaya kita dapat belajar daripada sejarah itu. Sejarah tidak mampu diubah, namun masa depan boleh dijamin berubah andai kita belajar untuk tidak mengulangi sejarah kesilapan silam.
Kita belajar sejarah sebagai salah satunya adalah untuk tidak melakukan kesilapan yang sama. Namun, sejarah itu sedang diulangi oleh sebilangan daripada kita yang bodoh sombong dan terlalu dungu untuk belajar daripada sejarah, malah terlalu bebal untuk mengenal fakta sejarah. Melakukan kembali apa yang pernah dilakukan oleh British terhadap orang Melayu ialah satu kesilapan besar. Perlakuan itu dilakukan semula oleh sebilangan orang Melayu sendiri pada masa kini dan kesilapan itu ialah:
‘meranapkan self-esteem bangsa sendiri’.
--
Mind Game: Demotivate
BRITISH telah berjaya meranapkan self-esteem orang Melayu pada tempoh 25 tahun itu. Kita hanya mengambil tempoh 25 tahun itu sahaja dalam konteks artikel ini (bagi mengecilkan skop) walaupun British sebenarnya telah lama meranapkan self-esteem orang Melayu selama beratus tahun sebelum itu melalui pelbagai cara selain lagu-lagu ‘puaka’ seumpama itu.
Hari ini dan sejak kebelakangan ini (mungkin sudah lebih 20 tahun juga sejak kebelakangan ini), sebilangan orang Melayu sendiri melakukan apa yang pernah dilakukan British kepada bangsa Melayu dengan meranapkan self-esteem bangsa sendiri. Ia dilakukan oleh sebilangan Melayu yang diangkat oleh orang Melayu sendiri sebagai pemimpin pada masa kini.
Pemimpin sewajarnya mengukuhkan self-esteem para pengikutnya supaya bersemangat tulen dalam berjuang (semangat tulen), bukan meruntuhkan self-esteem itu. Perkara yang sebaliknya sedang berlaku pada masa ini apabila self-esteem orang Melayu diruntuhkan oleh pemimpin yang sama bangsa dengan mereka sendiri.
Self-esteem ­dalam bahasa mudah disebut maruah. Namun, self-esteem mengandungi maksud yang lebih besar dan lebih luas daripada itu. Ia berkaitan rasa bangga (bukan bermaksud riak atau takbur) dan keyakinan diri dalam melakukan pekerjaan atau ketekunan usaha untuk mencapai sesuatu tanpa dipengaruhi sebarang unsur luar yang boleh melemahkan semangat itu.
Senjata untuk meruntuhkan self-esteem pula antara salah satunya ialah demotivate. Ia adalah perang psikologi yang banyak digunakan dalam peperangan untuk meruntuhkan semangat tentera pihak musuh di medan peperangan atau sebelum bermulanya peperangan. Ia adalah salah satu antara banyak kaedah propaganda. Demotivate pula terkandung dalam ruang lingkup propaganda.
Demotivate berperanan dalam melemahkan semangat seseorang melalui propaganda, menjauhkan seseorang daripada self-esteem dan menggelapkan alter yang berada dalam diri seseorang. Akibatnya, seseorang yang menjadi mangsa demotivate akan mula menelan setiap yang dicanangkan dan akhirnya semangat menjadi lemah.
Dalam konteks perang psikologi, ia adalah suatu perlakuan kejam yang dilakukan dalam mood yang halus dan lembut. Ia kejam kerana melibatkan pencerobohan terhadap akal, minda dan kewarasan musuh daripada berfikir secara yang sewajarnya. Ketidakwajaran diperlihatkan sebagai suatu kewajaran. Ia berlaku apabila minda menjadi keliru untuk mempertahankan self-esteem. Apabila self-esteem diranapkan, kewarasan akan digelapkan dengan mudah dan mangsa akan menjadi lupa jati diri.
Dalam konteks Malaysia hari ini, muncul beberapa orang dungu yang diangkat menjadi pemimpin. Dengan nada yang sumbang, pemimpin-pemimpin dari kalangan orang Melayu itu melakukan perkara yang sama dengan apa yang pernah dilakukan British satu masa lampau.
Pemimpin-pemimpin itu menerapkan self-esteem yang rendah kepada para pengikut mereka sehingga ada pengikut dungu yang tanpa rasa bermaruah mengaku “MALU MENJADI MELAYU”. Samalah seperti British mengajar orang Melayu supaya berbangga dengan hanya menjadi petani dan tidak boleh menjadi lebih baik daripada petani. Perkara yang sama, tetapi berlaku dalam bentuk ‘reversal mind-set’.
Dikatakan oleh pemimpin-pemimpin politik jenis itu lagi, tidak perlu bangga menjadi Melayu sebaliknya motif bangsa tidak dipandang oleh Allah kerana Allah hanya memandang kepada ketakwaan manusia. Itu benar, tetapi ada kecacatan dalam kewarasan semasa pertimbangan itu dibuat apabila menolak perjuangan bangsa sebulat-bulatnya.
Kesannya, wujud sebilangan manusia dungu yang berperasaan malu menjadi Melayu akibat menerima bulat-bulat kerendahan ‘nilai’ self-esteem yang diterapkan oleh pemimpin-pemimpin yang mereka tabal sedangkan pada masa yang sama bangsa-bangsa lain berbangga dengan bangsa mereka dan sentiasa memperjuangkan bangsa mereka sendiri tidak kira walau di bumi mana pun mereka berpijak.
Perlu berfikir dengan waras. Apabila musuh berperang menggunakan parang, kita juga mesti ada parang atau yang lebih hebat daripada parang. Bilamana musuh menggunakan senapang, kita juga perlu menggunakan senapang atau senjata lain yang lebih hebat daripada senapang. Bukan hanya berharap kepada tulang empat kerat semata-mata untuk memerangi musuh.
Apabila bangsa lain berlumba-lumba dan berbangga untuk memperjuangkan bangsa mereka, kita juga harus melakukan perkara yang sama dan bukan hanya tunduk malu kerana dijadikan sebagai Melayu tanpa sedikit pun rasa bangga. Itulah maksudnya kepada perlambangan erti mereka ada senapang, kita pun ada senapang.
Seseorang pemimpin sewajarnya berperanan membangkitkan semangat para pengikut, bukan meruntuhkan semangat dan self-esteem para pengikut termasuklah ‘mengajar’ pengikut supaya MALU MENJADI MELAYU. Jangan dibuat perkara yang sama seperti British pernah buat kepada kita.
Semasa Perang Scotland-Britain pada sekitar tahun 1296-1328, bangsa Scotland bangga menjadi orang Scotland dan berjuang dengan self-esteem yang tinggi untuk tidak membenarkan Britain bertampuk kuasa di Scotland.
Britain pula terdiri daripada bangsa Inggeris yang bangga menjadi orang Inggeris, malah bangga kerana melebarkan empayar luas sehingga kurun ke-20.
Bangsa Arab juga berbangga menjadi orang Arab, orang Iran juga berbangga menjadi bangsa Parsi, orang Cina juga berbangga dilahirkan Cina, begitu juga dengan Yahudi yang berbangga dilahirkan Yahudi. Mengapa mesti ada sebilangan orang Melayu yang MALU MENJADI MELAYU hanya kerana pemimpin mereka berkata SUNGGUH MALU MENJADI MELAYU?
Memang benar, Allah hanya memandang tingkat ketakwaan manusia dan bukan dari darah mana-mana keturunan yang diwarisinya. Dalam konteks negara merdeka, ‘pride’ sesebuah bangsa juga ada peranannya dalam mengemudi semangat para pejuangnya untuk memastikan negara terus merdeka.
Pride lebih mudah ditiup dengan semangat bangsa. Melayu di Malaysia adalah Islam majoritinya. Apabila disebut sebagai orang Islam di Malaysia, kita akan hanya terus fokus kepada satu bangsa iaitu MELAYU. Ia kerana bangsa Melayu itu Islam agamanya. Apabila orang Melayu berdiri kuat, Islam juga berdiri kuat. Apabila self-esteem orang Melayu jatuh melukut, self-esteem orang Islam di Malaysia juga jatuh melukut.
Namun, Islam itu bukan Melayu, tetapi Melayu itu beragama Islam.
Fahami perenggan ini dengan tingkat kewarasan yang tajam dan cuba jawab dengan ikhlas kepada diri sendiri. Apabila ada yang tidak bermaruah berasa MALU MENJADI MELAYU, timbul teka-teki iaitu siapakah orang Melayu yang akan berjuang demi agama yang dianuti oleh bangsanya? Berasa malu untuk berjuang demi agama yang dianuti bangsa sendiri kerana dilahirkan menjadi bangsa Melayu?
Juga berfikir tajam mengenai perenggan ini. Siapakah yang akan waras berfikir sekiranya bangsanya di negara ini teguh maka agamanya di negara ini juga akan teguh? Oh tidak, mereka itu MALU MENJADI MELAYU dan tidak akan berjuang demi bangsa yang menganuti agama mereka. Mereka kata mereka berjuang demi agama, bukan bangsa sedangkan bangsa mereka itu menganut agama yang sama dengan agama mereka.
Ketepikan orang Melayu yang murtad. Orang Melayu itu orang Islam majoritinya. Jika tercetus perang akidah tanpa disangka-sangka, orang Islam akan bersatu atas nama Melayu. Semangat jihad akan ditiup berbekalkan semangat bangsa yang berjuang demi agama mereka, Islam. Sila faham betul-betul dengan maksud ‘berbekalkan semangat bangsa’ hanya bekal, bukan berakidahkan semangat bangsa. Disatukan dalam erti kata bangsa Melayu beragama Islam.
Cuba jejakkan kaki ke bumi Palestin. Lihat, orang Islam di Palestin bersatu menentang Zionis dengan berbekalkan semangat bangsa Arab. Bukan kerana orang Arab itu majoriti beragama Islam di dunia, tetapi orang Arab itu majoriti beragama Islam di Palestin. Semangat mereka disatukan dengan erti kata semangat bangsa yang berjuang untuk agama mereka. Semangat yang mahu mengembalikan maruah orang Arab beragama Islam di rantau tebing. Lihat bagaimana semangat bangsa memainkan peranan untuk jihad mengembalikan maruah sebuah bangsa yang beragama Islam. Mereka bangga menjadi sebuah bangsa yang memperjuangkan Islam. Namun, sebilangan orang Melayu tidak bangga menjadi sebuah bangsa yang mempertahankan Islam, tidak bangga menjadi bangsa yang dipilih oleh Allah untuk menganut agama-Nya.
Tanah Melayu, Malaya, Malaysia.. telah ditetapkan rencana kejadian oleh Allah iaitu semua Melayu di tanah ini hidup dalam agama-Nya, menjadi sebuah bangsa yang menganut agama-Nya dan memperjuangkan agama-Nya. Melayu hari ini adalah sebuah bangsa yang dilahirkan dalam agama-Nya andai ibu bapa seseorang Melayu itu beragama Islam. Melayu tidak wajar malu kerana mereka menjadi sebuah bangsa yang memperjuangkan agama-Nya. Majoriti Melayu itu Islam dan teguhnya Melayu itu juga bermaksud teguhlah Islam di Tanah Malaya ini. MALUKAH MENJADI MELAYU wahai segelintir Melayu yang sudah menjadi dungu oleh kedunguan perkataan-perkataan pemimpin yang tidak faham dengan maksud sebuah bangsa yang memperjuangkan agama mereka.
Jika dibuat satu lirik yang merendahkan self-esteem Melayu pada hari ini sepertimana yang pernah dibuat oleh British, lirik itu mungkin berbunyi:
“Kami Melayu,
Kami malu menjadi Melayu,
Malu menjadi bangsa yang ditakdirkan memperjuangkan Islam di Asia Tenggara.”
Mungkin akan berbunyi sumbang seperti itu, lebih sumbang daripada lirik yang diperkenalkan British pada sekitar 1920-an hingga pertengahan 1940-an. Lebih teruk daripada mind-set yang diperkenalkan British. Perkataan-perkataan yang keluar daripada orang yang MALU MENJADI MELAYU adalah jauh lebih busuk daripada mulut British yang mahu meragut self-esteem orang Melayu ketika itu.
Pemimpin-pemimpin Melayu yang mengajar orang Melayu supaya MALU MENJADI MELAYU itu adalah dari kalangan orang politik berotak dungu dan otak udang. Tidak tahu mencari titik yang menemukan antara Islam dengan Melayu. Mereka dengan hidung kembang selalu berkata, perbezaan itu adalah rahmat.
Memang Melayu dan Islam itu berbeza kerana Melayu itu bangsa dan Islam itu agama, Allah juga tidak memandang bangsa. Kenapa tidak mencari titik perbezaan yang menemukan Islam dengan Melayu dan disifatkan sebagai rahmat Allah? Melayu adalah bangsa yang beragama Islam, sebuah bangsa yang ditakdirkan berjuang untuk agama-Nya. Malukah menjadi bangsa yang ditakdirkan untuk lahir dalam agama-Nya?
Oh, semua itu akan di-twist. Mereka berkata pula, MALU MENJADI MELAYU kerana ada sebilangan Melayu yang makan rasuah. Apakah Melayu sahaja yang makan rasuah? Bangsa Cina juga ada yang makan rasuah, bangsa India pun ada, bangsa Inggeris pun ada yang makan rasuah dan pecah amanah, bangsa Yahudi berhati Zionis pun lebih teruk lagi sampai bunuh orang Islam. Tetapi, bangsa-bangsa itu tetap bangga dengan bangsa mereka walaupun ada segelintir daripada kalangan mereka yang terlibat perlakuan tidak baik. Mereka kenal dengan kenyataan bahawa akan mana-mana bangsa sekalipun tidak akan dapat lari daripada melakukan kesalahan. Namun, adakah disebabkan hal itu ada orang Melayu yang malu menjadi Melayu sedangkan bangsa lain masih kekal bangga dengan bangsa mereka? Malangnya ada Melayu yang sudah membuang bangsa hanya kerana perkara seperti itu.
--
Banyak boleh ditemui dalam blog-blog politik yang mana ada komen daripada orang Melayu sendiri yang mengaku MALU MENJADI MELAYU. Ia satu realiti iaitu ada orang Melayu yang mula rasa malu menjadi Melayu. Malu dilahirkan sebagai bangsa yang ditakdirkan untuk menganut agama Allah.
Jangan hanya kerana membenci UMNO yang ultra-Melayu, lalu semangat bangsa dibuang ke dalam bakul sampah. Jangan hanya kerana membenci PAS, lalu semangat Islam disudutkan ke tepi. Bangsa Melayu dan agama Islam tidak dapat dipisahkan. Kuatnya Islam di Malaysia uga bermaksud kuatlah Melayu. Kuatnya Melayu juga bermakna kuatlah Islam. Bina kekuatan Melayu di Malaysia selari maksud dengan membina kekuatan Islam kerana Melayu itu beragama Islam.
Jangan lagi menjadi seperti kanak-kanak Melayu di sekolah Melayu yang diajar menyanyikan lagu yang memaksa mereka berbangga dengan hanya menjadi petani pada sekitar tahun 1920-an hingga pertengahan 1940-an.
Di kalangan kanak-kanak itu juga ada yang membantah keras kerana Melayu dipaksa berbangga menjadi petani sedangkan Melayu sebenarnya boleh menjadi lebih baik daripada sekadar petani kampung.
Jika ada yang masih malu menjadi Melayu... lihatlah bagaimana bangsa-bangsa yang berjaya begitu berbangga dengan bangsa mereka sejak sebelum mereka berjaya. Mereka bersemangat memperjuangkan maruah bangsa mereka untuk berjaya, sedangkan sebilangan Melayu begitu malu menjadi Melayu hanya kerana pemimpin mereka juga berasa malu.
Pemimpin yang baik adalah yang mampu meningkatkan semangat pengikut, semangat yang tulen, tulen bererti mengenal segala kenyataan selepas menemui persamaan dalam titik-titik yang berbeza. Pemimpin yang baik adalah yang mampu menaikkan semangat pengikut di ‘medan perang’ dan bukan yang ‘menjadikan pengikut berasa malu’ untuk berhadapan dengan musuh. Masih tertunduk malu ketika kepala mahu dipancung oleh musuh. Malu, malu dan malu tidak bertempat. Malu, malu dan malu untuk melihat diri sendiri.
Melayu semua, bangsa kamu adalah bangsa yang hebat, dicemburui Portugis dan Sepanyol serta bangsa-bangsa Eropah yang lain sehingga bermain kotor menjatuhkan empayar-empayar Melayu.
Melayu itu bangsa yang banyak rahsia sejak zaman berzaman, rahsia yang mahu diketahui oleh orang Eropah dan ditutup segala rahsia itu sehingga Melayu lupa asal usul apabila Tanah Melayu sudah terjajah.
Apabila sudah lupa asal usul kegemilangan bangsa, maka wujudlah sebilangan Melayu yang malu menjadi Melayu. Malu selepas pemimpin mereka juga berasa malu. Dungu dan malu yang tidak bertempat. Malu menjadi Melayu sehingga sejarah kegemilangan dan kehebatan bangsa mahu ditempatkan kepada bangsa lain. Malu dan dungu sehingga tanpa usul periksa berkata Tanah Melayu ini bukan milik bangsa Melayu sejak asalnya.
Orang bodoh itu makanan paling lazat bagi orang yang bijak memanipulasi. Daging orang gopoh yang tidak pandai usul periksa pula adalah jauh lebih lazat daripada daging orang bodoh kerana orang gopoh itu jauh lebih bodoh daripada orang yang sedia bodoh. Sama ada orang bodoh atau orang gopoh, kedua-duanya itu adalah makanan yang lazat kepada orang bijak.

Demotivated Malays.. lets get re-motivated starts from now, bangunlah dengan minda yang waras, yang menemui titik persamaan daripada dua titik yang berbeza.

Atau

Teruskan menyanyi dengan ‘lagu-lagu puaka’ yang meruntuhkan jati diri tanpa sedikitpun rasa bangga.

Khamis, 6 Oktober 2011

Jangan tertipu isu yang dibangkitkan BN


Oleh SYARIZAL MAKSIR,Bintulu.

SURAT terbuka ini ditujukan kepada seluruh rakyat Malaysia khususnya pimpihttp://omong.files.wordpress.com/2007/05/windowslivewriterbbc10yearsdevelpmentin10daysatijokbyelec-cc48barisan-nasional-banner-folded1.jpgnan Pakatan Rakyat.
Ingin saya tegaskan bahawa kesusahan, kekalutan, kegusaran sentiasa menyelubungi kita lantaran negara diurustadbir dengan diselimuti kronisme, rasuah, penipuan dan sebagainya. Hasilnya adalah pembolotan kekayaan negara secara korup oleh kelompokkelompok dan individu-individu tertentu dan rakyat semakin terhimpit lantaran nilai ringgit yang semakin kecil.


Meskipun rakyat semakin sedar dan cuba untuk melakukan perubahan, namun segalanya menjadi sia-sia apabila undi rakyat tidak menjadi penentu, tetapi yang menjadi penentu adalah pengundi-pengundi palsu (pengundi hantu, pengundi clone dan sebagainya). Sebagai contoh yang mudah adalah pengguguran senarai pengundi yang berjaya didedahkan dan dibantah oleh PAS Selangor.
Kesedaran bagi mendesak untuk pembaikan terhadap pilihan raya yang bersih telah berjaya dimobilisasi oleh gabungan NGO dan didokong rakyat iaitu Bersih. Namun malangnya kesedaran yang penting ini telah berjaya dipudarkan oleh BN. Bagaimana?

Jawapannya sangat senang, iaitu para pemikir BN akan mengalihkan isu ini kepada isuisu lain agar rakyat tidak dapat lagi fokus. BN akan mengaturkan proksi-proksi mereka iaitu media arus perdana, NGO-NGO, mantan-mantan pimpinan BN, jabatan-jabatan dan pelbagai lagi agensi agar mengubah isu dan isu sebenar akan tenggelam bagi mamanjangkan hayat BN.

Terdapat banyak cara yang diaturkan oleh pemikir-pemikir BN yang harus kita sedari agar kita tidak tertipu lagi, dan agar kita tidak tertarik dan mengikut kehendak mereka. Antara rahsia mereka adalah:

1. Mencipta dan mempromosikan perkara yang membingungkan atau menyentak Pakatan Rakyat.
2. Menyibukkan rakyat dengan menimbulkan perkara menyusahkan rakyat.
3. Membuat pendedahan yang boleh melekakan Pakatan Rakyat.
4. Membangkitkan isu-isu perkauman atau polemik agama.

Setiap kali BN merasa mereka terancam dengan pendedahan (dalam hal ini, pilihan raya yang bersih), BN akan mencipta dan melontarkan gelarangelaran atau tuduhan-tuduhan bagi menjatuhkan Pakatan Rakyat.

Tidak kiralah sama ada melabelkan Pakatan Rakyat sebagai pengganas, pelampau agama, pelampau bangsa, terpesong dari perjuangan asal bahkan mereka akan melakukan serangan-serangan peribadi.
Akhirnya rakyat akan kebingungan dan pimpinan Pakatan Rakyat pula sibuk menjawab tuduhan yang dilemparkan. Maka tuntutan pilihan raya bersih akan ditenggelamkan.

Kedua, kerajaan BN akan menimbulkan isu yang akan menggusarkan rakyat, contohnya menaikkan cukai, menaikkan tarif, kenaikan harga minyak, tol dan sebagainya, sama ada akhirnya mereka akan berlagak hero menyelesaikan masalah tersebut atau mereka akan membiarkan rakyat terkapaikapai menyelesaikan masalah ditimbulkan ini. Maka tuntutan pilihan raya bersih akan terkubur.

Ketiga, BN juga sanggup mewujudkan perkara-perkara yang menggembirakan Pakatan Rakyat bagi melekakan pendokong dan pimpinan Pakatan Rakyat. Contohnya, mereka akan berlakon bergaduh sesama sendiri. Bayangkan tibatiba Dr Mahathir dan Muhyiddin Yassin menyokong Hudud dan ada pula pimpinan lain yang menentang. Sedangkan selama ini pedulikah mereka? Bahkan mereka sanggup melakukan pendakwaan terhadap individu atau pimpinan-pimpinan mereka sendiri. Sebagai kesan, pimpinan dan penyokong Pakatan Rakyat akan bergembira dengan isu yang ditentang dan sibuk menceritakan hal tersebut. Akhirnya tuntutan pilihan raya bersih akan terkubur.

Keempat, BN juga sanggup menimbulkan isu-isu perkauman, menimbulkan polemik antara agama, bahkan sanggup menimbulkan polemik dengan negara lain. Hal begini bukan baru, mereka sanggup menimbulkan polemik-polemik ini kerana mereka tahu apabila berlaku kekecohan atau rakyat rasa tidak selamat, rakyat akan menumpukan perhatian kepada isu-isu tersebut. Akhirnya tuntutan pilihan raya bersih akan terkubur.

Lantaran itulah, saya ingin menyeru kepada seluruh rakyat Malaysia yang menginginkan hidup yang lebih baik, agar menumpukan sepenuh perhatian dan menggembleng tenaga me nuntut pilihan raya yang bersih.
Seandainya terdapat isu-isu yang cuba ditimbulkan, janganlah kita mudah teralih arah.
Kepada pimpinan Pakatan Rakyat pula, apalah salahnya jika kita terus bekerja membela rakyat, namun jika ditanya mengenai isu-isu lain yang cuba dipolemikkan, jawabkan sahaja, “kita Insya-Allah mampu menyelesaikannya (apa jua isu) apabila kita memenangi pilihan raya dan menjadi kerajaan, syaratnya pilihan raya mestilah diadakan dengan bersih.”

Sabtu, 1 Oktober 2011

Fakta penubuhan PAS bukti Umno tolak Islam

Oleh Mohd Nasir Awang   

1 Oktober 2011, ribuan pemimpin, ahli dan pendukung PAS dijadualkan berhimpun di http://mudin001.com/wp-content/uploads/2009/05/bendera-pas-300x237.jpgKepala Batas, Pulau Pinang bagi merayakan Sambutan Ulangtahun ke-60 usia perjuangannya.

‘Sepak mula’ aturcara sambutan itu malah berlangsung lebih awal dengan acara Forum Perdana yang dijadual diadakan malam ini (Jumaat). Dengan tajuk “PAS: Pembangkang, Pemerintah dan Penyelamat Ummah”, forum yang menampilkan Ustaz Idris Ahmad sebagai moderator itu turut membariskan empat nama besar dalam perjuangan Islam tanahair.


Mereka adalah Timbalan Presiden PAS, Haji Mohamad Sabu; Naib Presiden, YB Salahuddin Ayub; Ketua Penerangan, Dato’ Tuan Ibrahim Tuan Man dan bekas Mufti Perlis, Dr Mohd Asri Zainul Abidin.

Agenda lebih padat bagaimana pun menanti hadirin esok hari. Seperti biasa, ia bakal dipenuhi sessi ucapan, pembentangan kertas kerja dan perbahasan di sebelah pagi. Serentak itu turut dilangsungkan karnival jualan dan pameran sejarah PAS, selain ikut diselit aturcara persembahan pentas.


Manakala di sebelah malamnya akan diadakan Solat Hajat dan Munajat Perdana, sebelum diakhiri dengan Ucap Perdana membariskan lima pemimpin tertinggi Pakatan Rakyat mewakili DAP, KeADILan dan PAS sendiri.


Pemilihan Pulau Pinang sebagai tapak sambutan bukan dibuat tanpa perhitungan politik. Ia bukan semata-mata memanfaatkan negeri diperintah Pakatan Rakyat bagi memudahkan urusan sambutan. Ia sebenarnya bersandarkan fakta sejarah penubuhan PAS itu sendiri. Parti Islam itu terbentuk secara rasmi 60 tahun lalu menerusi Persidangan Persatuan Ulama Se-Malaya di Butterworth.


Sepertimana bunyi namanya, Persatuan Islam Se-Malaya (PAS) yang kemudiannya didaftarkan sebagai Pan-Malayan Islamic Party (PMIP), tujuan penubuhan PAS adalah demi memenuhi tuntutan agama. Ia digariskan dengan jelas “.. untuk membentuk suatu tenaga bersama bagi menyelenggarakan  segala tuntutan Islam dan siasah berdasarkan demokrasi”.


Agak janggal bunyinya apabila pertubuhan baru itu memilih bekas Pengerusi Biro Agama Umno, Tuan Guru Ahmad Fuad Hassan sebagai Yang Dipertuanya (Presiden) yang pertama. Walau pun ada penulis sejarah mendakwa kesediaan beliau menerajui PAS ekoran permasalahan peribadinya dengan para pemimpin Umno, fakta sejarah lebih popular mengenai faktor berpalingnya Ahmad Fuad daripada parti Melayu itu ialah perbezaan pendirian mengenai hukum Islam.


Beliau dikatakan sangat kecewa apabila Umno memutuskan untuk mewujudkan Loteri Kebajikan Masyarakat. Selaku orang agama dalam Umno, beliau menegaskan betapa perkara itu tidak terlepas daripada unsur perjudian yang mana hukumnya di sisi Islam adalah jelas haram.


Sebagaimana diduga pandangan beliau diketepikan begitu sahaja oleh Umno dan permainan loteri itu dilaksanakan. Umno tidak pernah menganggapnya sebagai judi.


Mungkin setelah 60 tahun berlalu, ada pengkaji sejarah yang masih mempertikaikan percanggahan fakta tersebut. Sudah tentu khalayak yang kuat menyokong Umno atau amat cenderung hati kepada perjuangan nasionalisme-sekularisme dianuti parti itu akan mempertahankan versi pertama, iaitu Ahmad Fuad menyertai dan memimpin PAS kerana kecewa setelah gagal mendapat tempat dalam pemilihan Umno.


Namun rasanya tidak akan ada mana-mana pakar sejarah yang tergamak memperbodohkan dirinya dengan mendakwa kononnya Ahmad Fuad tidak pernah menjadi ahli dan pemimpin Umno, sepertimana ada profesor kini mendakwa Tanah Melayu tidak pernah dijajah British dulu-dulu!


Penafian fakta sejarah diterima umum sekian lama itu mungkin bermaksud membasuh imej Umno. Logiknya, jika Ahmad Fuad bukan pemimpin Umno, maka tidka timbul soal beliau menentang judi dianjurkan parti itu dari dalam.


Samalah juga usaha seorang profesor membela maruah Umno yang kian tercemar ekoran kesedaran umum mengenai fakta sebenar sejarah negara. Logiknya, jika benar British tidak pernah menjajah Malaya, sebaliknya hanya menaungi dan membantu Raja-Raja Melayu mengurustadbir negara, maka sudah tentu sesiapa yang menentang British dulu boleh dianggap pemberontak dan pengganas.


Namun perbuatan sedemikian pada hakikatnya satu bentuk jenayah akademik yang hanya mencemar dan menjatuhkan martabat cendikiawan itu sendiri.


Kalangan pencatat sejarah yang condong kepada kepentingan Islam pula akan melihat kesediaan Ahmad Fuad menerajui PAS sebagai natijah percanggahan pendirian Umno dengan hukum Islam diperjuangkan ulama, termasuk ulama di kalangan parti itu sendiri.


Sebetulnya itulah antara pengajaran dan pemerhatian yang sepatutnya dikutip generasi kini, terutama dalam menghayati sejarah penubuhan dan perkembangan PAS sejak enam dekad lalu. Bahawa pendirian Umno dan hukum Islam adalah dua perkara yang kerap tidak sehaluan sejak dulu.


Islam dan al-Quran mengatakan judi itu haram, Umno mendakwa sebaliknya. Selagi mana ia melihat ada ruang dan peluang menjana pendapatan dan memacu ekonomi, apa dipedulikannya hukum agama?


Sebab itu Umno bukan sahaja membolehkan pihak lain mengoperasi aktiviti perjudian menerusi pemberian lesen dan berbagai kemudahan, malah parti itu sendiri turut terlibat secara aktif menganjurkannya. Kes Loteri Kebajikan Masyarakat itu adalah pemula sejarah. Ia dianjurkan kerajaan Umno sendiri.


Pendirian Umno yang kerap bercanggah dengan Islam sebegitu berterusan hingga ke era kini. Masakan anda sudah lupa bagaimana para pemimpin Umno menjadi pencetus idea dan pencanang utama untuk melesenkan (baca ‘menghalalkan’) pertaruhan sempena pertandingan bolasepak Piala Dunia tahun lalu?


Sebaliknya PAS bukan setakat membantah agenda mengharuskan judi oleh Umno sewaktu penubuhannya dulu, pendirian yang selari dengan tuntutan hukum Islam itu kekal dipegang PAS hingga kini. Anda boleh semak fakta sejarah dan akui keseriusan parti Islam itu menentang sebarang bentuk perjudian melibatkan bidang kuasa kerajaan dan ia menjadi agenda perjuangan PAS sepanjang zaman.


Sebagai bukti paling jelas, PAS serta-merta mengarahkan penutupan premis perjudian di Kelantan dan Terengganu yang diperintahnya secara mutlak. Di atas bidang kuasa terbatas dimilikinya ke atas lesen premis, kerajaan negeri ditadbir PAS telah melakukan sedayanya. Sedangkan lesen pengoperasian adalah di bawah Kementerian Kewangan dikuasai Umno.


Pendirian mengenai judi itu adalah pemerhatian pertama dari fakta penubuhan PAS, sekaligus menyerlahkan perbezaan pendirian antara PAS dan Umno. Al-Quran kata judi haram, PAS menegaskan judi haram, Umno sebaliknya menghalalkannya.


Maka jangan terkejut dan pura-pura hairan jika mutakhir ini kita dapati Umno bermati-matian menegaskan bahawa parti itu tidak pernah dan tidak akan bersedia melaksanakan hukum Islam, termasuk hudud, di dalam pemerintahannya! Ingat, sudah menjadi tradisi sejak berdekad lalu bahawa pendirian Umno dan hukum Islam memang tidak sehaluan.


Kedua, sepertimana disebutkan sepintas lalu di atas, bahawa pandangan mengenai hukum Islam selalunya sukar mendapat tempat di dalam Umno. Jangan dikatakan pandangan itu datang daripada luar suku-sakat parti itu, ia termasuk juga yang disuarakan kalangan pemimpin Umno sendiri.


Kes Ahmad Fuad membantah loteri itu sekali lagi menjadi contoh terbaik. Nampaknya itulah cara ‘terbaik’ Umno melayan ulama dan agamawan di dalam parti itu.


Meneliti perjalanan Umno dalam era kemudian ini pun, hakikat itu tidak jauh bezanya. Mana ada seorang yang dikenali sebagai ilmuan agama kekal lama dalam hierarki kepimpinan Umno? Kalau ada pun yang mampu bertahan agak lama, sejauh manakah suaranya berhubung hukum dan peraturan Islam diendahkan khalayak terbanyak parti itu? Sebaliknya pemimpin berlatar belakang agama itu sendiri hanyut dan tenggelam bersama sikap dan tabiat ‘haru-biru’ yang bersebati dengan parti itu.


Pengajaran ketiga daripada fakta penubuhan PAS di atas ialah bagaimana cetek dan terpesongnya penafsiran Umno terhadap istilah-istilah berkaitan agama. Lihat saja bagaimana ia tergamak melabelkan permainan judi yang jelas haram itu sebagai Loteri Kebajikan Masyarakat? Agaknya bagi Umno kebajikan itu tidak perlu mengambilkira halal atau haram, ya?


Sedangkan konsep kebajikan (al-Birr) disebutkan al-Quran dan diperjuangkan PAS semestinya tidak lari daripada paksi ‘beriman kepada Allah dan Hari Akhirat’. Ertinya kebajikan dimaksudkan PAS senantiasa mengambilkira pahala-dosa, selari digariskan Islam.


Sebab itu jangan terpedaya dengan dakwaan Umno kononnya Negara Berkebajikan diperjuangkan PAS sudah lama dilaksanakannya. Pemahaman Umno terhadap istilah ‘kebajikan’ itu amat dangkal dan terpesong dari landasan Islam.


Buktinya, ia dengan mudah mendakwa PAS telah meninggalkan matlamat menubuhkan Negara Islam apabila menyatakan hasrat ‘Membangun Negara Berkebajikan’. Kejahilan dan kebebalan Umno menyebabkan ia tidak faham bahawa Negara Berkebajikan itu salah satu wajah atau ciri bagi Negara Islam.


Di atas hakikat sama jangan pelik apabila Umno mencipta istilah ‘Islam Hadhari’ yang bukan sahaja janggal dari segi nahu Arabnya, malah mengelirukan fahaman masyarakat mengenai ajaran Islam itu sendiri. Akhirnya Umno sendiri pun malu menyebutnya dan kini ‘Islam Hadhari’ dianggap berkubur bersama jatuhnya sang pencetus istilah itu.


Ada pula pemimpin Umno tergamak menyandarkan fahamannya yang cetek mengenai ketetapan agama untuk dijadikan dalih daripada melaksanakan hukum Islam. Kononnya dia faham apa itu maqasid syariah. Bahawa maksud-maksud ketetapan syariat Islam itu mementingkan keadilan dalam mempertahankan kesucian aqidah, harta benda, nyawa dan lain-lain.


Lalu di atas penafsiran ceteknya terhadap maqasid syariah itu, dia sewenangnya menidakkan perlunya ditegakkan hudud dan qisas. Sedangkan sebagai orang beriman kepada Allah, sudah tentu kita dituntut mengakui dan meyakini bahawa tiada undang-undang dan hukum yang lebih adil dan lebih menjamin aqidah, nyawa dan lain-lain itu selain hukum diturunkan Allah Ta’ala sendiri.


Itulah sepintas lalu penelitian terhadap fakta-fakta melingkungi sejarah penubuhan PAS 60 tahun lalu. Di samping berbangga dengan kelangsungan perjuangannya hingga kini, penubuhan parti Islam itu juga selayaknya dianggap bu kti betapa tidak mahunya Umno kepada hukum dan peraturan Islam!


@..............................




Menjelang 60 Tahun, Rahsia Kekuatan Pas

Oleh Idris Ahmad
Pas akan menyambut ulang tahun ke 60 pada 1 Oktober 2011 di Dewan Melinium Kepala Batas. Pas memilih Pulau Pinang kerana nostalgia lama Pas yahttp://pasabah.files.wordpress.com/2008/02/bendera-8.jpgng dilahirkan secara rasmi pada 24 Nov 1951 di Bagan Tuan Kecil Seberang Perai.
Pas sudah muncul sebagai parti yang tertua di Malaysia, setelah Umno 1946 diharamkan oleh mahkamah, sedangkan Umno sekarang ialah Umno 1988.


Apakah rahsia Pas sehingga mampu menonggah arus dan badai taufan yang melanda, namun Pas dengan izin Allah mampu berada di persada politik tanah air bergerak dengan penuh izzah.
Semua ini kerana Pas mempunyai dasar Islam yang tulin. Walaupun Pas telah bertukar kepimpinan daripada berbagai latar belakang namun Pas tidak pernah menukar dasar, iaitu Islam sebagai mana termaktub di dalam Perlembagaan Pas fasa 3. Mereka memilih Pas kerana dasar, bukan kerana pemimpin.
Islam yang tulin sentiasa dinamik dan sesuai dengan semua masa dan keadaan. Oleh itu semua perhitungan yang dibuat semuanya bersandarkan kepada ajaran Islam. Pas tidak sekali-kali untuk menggadaikan prinsip Islam semata-mata untuk mendapat kemenangan dunia yang tidak seberapa
Islam yang diperjuangkan oleh Pas ialah Islam yang lengkap (syumul), merangkumi semua perkara samaada ibadah, politik, ekonomi, akhlak. Dalam erti kata yang lain yang merangkumi urusan hidup dan mati. Pas mahu memperjuangkan Din wa daulah (agama dan Negara)
Pas menerima konsep Islam secara keseluruhan “syumul”, bukan tempelan. Pas bukan menerima Islam pada perkara puasa tetapi menghalalkan judi. Pas bukan parti yang menerima hukum zakat tetapi tidak beriman dengan ayat hukuman zina. Pas bukan parti yang menerima hukum wajib puasa tetapi menolak ayat mengenai pengharaman arak.
Islam yang diperjuangkan oleh Pas bukan rekaan mana-mana pemimpin. Tetapi ia bersumberkan kepada apa yang diajar oleh Nabi Muhammad SAW yang mengajar dan mendidik melalui wahyu yang disampaikan kepada kita. Kerana Islam bukan satu doktren rekaan mana-mana pihak. Dengan itu apa sahaja tindakan yang kita lakukan ia bertitik tolak kepada apa yang diperlakukan oleh Nabi dan Rasul S.A.W. Islam yang diperjuangkan bukan satu yang hendak dipolitik atau mainan politik semata-mata. Oleh itu Pas berusaha untuk memertabatkan Islam apabila ia diberi kuasa. Bukan kita memperalatkan Islam untuk mencari sokongan. Walaupun Pas pernah dituduh merasuah syurga oleh pemimpin Umno.
Justeru itu Pas perlukan kuasa. Jika ada kuasa maka kita boleh melaksanakan apa yang diperintahkan oleh Allah SWT kepada kita. Sebaliknya kalau kita tidak mendapat kuasa maka segala kecantikan Islam hanya boleh terdapat dalam kitab feqah dan lipatan tamaddun Islam sahaja
Pas mengajak manusia kepada Islam bukan supaya taasub kepada mana-mana pemimpin. Oleh itu ahli Pas tidak akan keluar parti jika pemimpin mereka keluar parti, kerana perjuangan mereka bukan kerana individu. Berapa ramai pemimpin Pas yang melarikan diri dalam perjuangan tetapi kesetian ahli tidak pernah luntur, malahan Pas semakin berkembang. Keluarnya mereka daripada parti tidak memberi kesan apa-apa kepada parti.
Dato’ Samad Idris (Bekas Menteri Kebudayaan) telah memberi komentar mengenai perjuangan Pas seperti berikut,
“Faktor fanatik kepada perjuangan Pas tidak boleh diketepikan begitu sahaja, mereka setia dengan Pas, mereka sanggup dibakar hangus, direndam basah, dicincang lumat, oleh sebab itu Dato’ Mohd. Asri dan Mohd. Nakhaei keluar daripada parti mereka anggap melukut tepi gantang”. Utusan Malaysia 13hb. Disember 1990)
Rahsia kekuatan Pas yang lain ialah kerana Pas mempunyai ahli yang ikhlas. Mereka menyertai Pas tidak ada matlamat yang lain, kecuali untuk melihat Islam dihayati di negara ini. Penyertaan mereka tanpa dipaksa sebaliknya dengan kesedaran yang membuahkan iman di dalam diri mereka untuk berjuang bersama dengan Pas, selagi Pas berpegang dengan dasar Islam
Kehadiran mereka bersama Pas bukan untuk meminta sesuatu daripada Pas, sebaliknya mereka yang akan berusaha untuk memberi kepada Pas samaada di segi wang ringgit atau tenaga. Mereka sedar jika berjuang bersama dengan Pas telah terpahat di dalam fikiran mereka bahawa perjuangan ini susah dan payah. Mereka tidak mengharapkan sesuatu di dunia atau imbuhan daripada Pas atau wakil rakyat Pas. Kekuatan ini lah yang dimiliki oleh Pas kerana mempunyai ahli yang begitu ikhlas di dalam perjuangan.
Mereka mengahbiskan wang ringgit dan harta benda untuk diinfaq kepada Pas. Ini boleh dilihat setiap kali pilihanraya mereka mengeluarkan belanja sendiri tanpa mengharapkan daripada pemimpin atau parti.
Walaupun di kalangan mereka ini hanya bekerja sebagai pesawah, penoreh getah, buruh kasar, tetapi mempunyai jiwa yang besar untuk menumbangkan kezaliman di nagara ini. Tepatlah seperti sabda Rasulullah SAW”Bukanlah kaya itu, kaya harta, tetapi kaya yang sebenar ialah kaya jiwa”. Apabila calon yang bertanding menang, sedikit pun mereka tidak ungkit kerja buat dan meminta kembali imbuhan yang mereka labor semasa pilihanraya, cuma mereka harap laksana amanah parti dan
ingatlah kepada petugas parti yang memenangkan mereka.
Semua pengkaji politik akur bahawa kekuatan inilah yang membolehkan Pas bergerak sehingga kini dan menjadi saingan terdekat dengan Umno. Sekiranya Pas tidak mempunyai ahli yang ikhlas bagaimana Pas mampu bertahan sehingga kini. Bukan senang untuk melawan gergasi politik yang mempunyai seluruh kelengkapan untuk menghalang kebangkitan sokongan kepada Parti Islam Semalaysia Pas
Wasiat Allahyarham Profesor Dr Zulkifli Muhammad kepada wakil rakyat Pas selepas pilihanraya 1964 amat menyusut hati
“Saya perlu memberitahu saudara satu daripada syarat kejayaan bagi satu perjuangan ialah keikhlasan. Kita mungkin bodoh, mungkin jahil, mungkin tidak tahu apa, mungkin tidak kuat. Tetapi keikhlasan ada pada kita, maka ada harapan cita-cita ini dapat dilaksanakan. Tidak ada gunanya kita cerdik , pandai, kuat, sekiranya kita tidak ikhlas apa yang diperjuangkan. Kita sucikan tujuan kita kepada itu. Kita ketepikan kepentingan yang lain dari itu, ini perlu pada kita. Keikhlasan yang tidak ada belah baginya lagi. Keikhlasan yang tidak mengira yang lain selain dari apa-apa yang kita tuju di dalam perjuangan asal kita. Kejayaan orang yang dahulu pada diri kita, semuanya pada keikhlasan. Amat perlu keikhlasan ini, kita tanam, kita pupuk pada diri kita”
Sebab itu jika ada di kalangan ahli yang menyertai Pas mempunyai agenda yang tersembunyi mereka ini tidak akan kekal lama, samada mereka ini terbuang atau pun mereka yang membuang diri mereka sendiri.
Ahli Pas yang datang daripada berbagai peringkat dan darjat. Ahli-ahli Pas ada yang berkelulusan Ph.d hinggalah yang buta huruf. Mereka menyertai Pas bukan hendak dapat benda tetapi kerana cintakan Islam. Mereka sanggup menerima risiko yang berat daripada pihak yang berkuasa seperti tidak diberikan subsidi, anak tidak dapat biasiswa, dipotong bantuan kebajikan. Semuanya mereka sanggup menerima kerana perjuangan Islam yang dibawa oleh Pas. Kehadiran mereka dalam program ceramah atau program parti tanpa diupah dan disuruh, sanggup untuk berbelanja berbelas-belas ringgit semata-mata untuk mendengar ucapan pemimipin mereka yang dicintai dan menderma kepada perjuangan
Ahli yang ikhlas walaupun buta huruf adalah lebih baik daripada mempunyai ijazah berjela-jela tetapi boleh dibeli oleh Umno. Ahli-ahli Pas yang menerima tarbiah yang jelas mereka tidak rela membiarkan maksiat dan berkompromi dengan program maksiat. Umno bimbang hendak membuat program maksiat kerana takut kepada Pas yang sentiasa menentang program yang berunsur maksiat.
Rahsia kekuatan Pas yang lain ialah kerana ia didokong oleh ulama’ dan mereka yang mempunyai latar belakang agama. Kebetulan penubuhan Pas kerana kesedaran untuk membentuk jamaah yang melakukan kerja-kerja para nabi dan Rasul yang terdahulu iaitu mengajak kepada kebaikan dan mencegah daripada melakukan perkara munkar.
Ulama’ yang memahami agama dan perintah Allah akan melibatkan diri bersama dengan Pas. Penglibatan mereka secara langsung telah memberikan impak yang besar kepada Pas. Kerana sikap orang melayu yang begitu intim dengan orang agama telah berjaya memberi kesan yang positif kepada perjuangan Pas. Penyertaan orang agama bersama Pas kerana serasi dengan apa yang mereka belajar di sekolah, pondok atau universiti. Sebab itu Mahathir Mohd Khir pernah menulis Pas mempunyai kaitan dnegan 3P, iaitu padi pondok dan Pas.
Memang ini terbukti tempat yang kuat pengajian agama maka di situlah akan menjadi pengkalan Pas. Sebab itu Pas berkembang di Kelantan walau pun penubuhanya di Seberang Perai, kerana Kelantan mempunyai institusi pondok yang banyak.
Pondok menjadi pengkalan Pas walaupun ia bukan markaz Pas tetapi secara tidak langsung segala idea dan fikrah yang bawa oleh Tok Guru telah mempengaruhi orang awam yang untuk menyokong Pas. Sebab itu jika ada Tuan Guru pondok yang menyokong perjuangan Umno, maka pondoknya tidak ramai penghuninya akhirnya pondok tersebut mati begitu sahaja.
Dokongan di kalangan profesionl dan aktivis hasil daripada pentarbiahan yang mereka dapat daripada ulamak telah menjadi nilai tambah kepada Pas. Mereka ini pula berusaha untuk mendekati golongan yang mungkin tidak mampu untuk duduk bersila di masjid atau di surau bersama dengan Tuan Guru. Apabila orang ramai melihat sikap keterbukaan Pas dan pelbagai ragam yang memimpin Pas maka mereka akan tertarik bersama dengan perjuangan Pas.