Khamis, 15 Disember 2011

Lupakan saja idea gabung Umno-PAS


SERUAN atau cadangan supaya PAS dan Umno menjalin hubungan, konon untuk menjamin perpaduan dan kekuatan orang Melayu menjadi sesuatu yang melucukan, malah jadi bahan ketawa.
Hal ini hampir-hampir mustahil berlaku kerana pertamanya, dua parti itu mempunyai dasar yang jauh berbeza – di mana sudah diketahui umum bahawa PAS teguh dengan dasar Islam, sementara Umno yang sekular itu menganut fahaman kebangsaan.


Kedua, pengalaman pahit PAS masa lalu, malah hingga kini berhubung dengan pelbagai perbuatan Umno terhadap PAS selama ini. Tidak mungkin, seperti kata Sayidina Abu Bakar Al-Siddiq, umat Islam dua kali dipatuk ular dalam lubang yang sama.
Banyak lagi sebab yang sudah berulang kali dijelaskan oleh pemimpin PAS. Namun, sesetengah pihak masih juga tidak memahami atau sengaja enggan menerima hakikat itu.
Cadangan pemimpin Umno dan mereka yang sehaluan dengannya supaya PAS-Umno itu bergabung, didapati masih berterusan disuarakan, terutama menjelang PRU13 dan juga baru-baru ini ketika hiruk pikuk Perhimpunan Agung Umno itu di mana pemimpin Umno beriya-iya benar menyarankan supaya kedua-dua parti itu bergabung.
Sejauh ini pemimpin PAS terus bertegas menolak cadangan perpaduan Umno-PAS itu dan tidak sedikit pun tergiur dengan lambaian pelbagai pihak. Namun, anehnya seruan ini masih diteruskan dan ini sangat melucukan. Lebih-lebih lagi diberikan gambaran oleh media milik Umno itu bahawa kononnya, Umno benar-benar ingin bersatu.
Daripada pengamatan saya, generasi baru sama sekali tidak berminat dengan idea gabungan ini dan tidak melihat pentingnya gabungan tersebut terutama apabila mereka melihat perlakuan rasuah, penyelewengan, diskriminasi dan pelbagai kezaliman yang dilakukan oleh parti itu yang memerintah negara ini selama hampir 60 tahun.
Rekod Umno sangat buruk dilihat oleh rakyat, khususnya generasi baru. Oleh itu, mereka bertanya ‘apa perlunya PAS bergabung dengan Umno?’
Saya sendiri baru pulang dari kampung, menziarahi saudara mara dan terkejut menyaksikan dengan amat menarik perubahan pemikiran sesetengah orang kampung terhadap Umno, sesuatu yang tidak pernah terfikirkan.
Rupanya mereka juga mengetahui agak meluas perlakuan Umno dan pendukungnya, terutama sejak akhir-akhir ini.
Skandal projek lembu ratusan juta ringgit, barang kemas isteri orang besar negara yang berjuta-juta ringgit harganya, kehidupan mewah pemimpin negara, pembaziran wang rakyat, rasuah yang menjadi-jadi, sedangkan harga barang sangat membebankan, sudah diketahui oleh sebahagian besar rakyat, termasuk di pedalaman.
Berita-berita seumpama ini biasanya ditutup oleh media tradisional - TV dan akhbar - tetapi kini sudah banyak diketahui oleh orang luar bandar hasil daripada maklumat anak-anak mereka yang pulang dari bandar, malah pengasuh media baru yang dibawa oleh internet seperi facebook, twitter dan sebagai, malah berita on-line sudah menjalar ke kampung-kampung.
Ertinya, sesetengah anggota masyarakat kampung – walaupun belum menyeluruh - telah menerima maklumat daripada pelbagai sumber. Dengan itu mereka dapat melihat ’wajah’ dan ‘watak’ sebenar Umno dan pemimpin mereka. Ini menyebabkan mereka berfikir bahawa dengan keadaan Umno seperti ini memang wajarlah PAS menolak pelawaan untuk bergabung dengannya.
Sudah berulangkali ditegaskan oleh pemimpin PAS bahawa tidak ada gunanya bergabung dengan Umno kerana sejarah Umno sendiri yang ditandai oleh pelbagai kemungkaran, lebih-lebih lagi bersikap perkauman yang tidak memungkinkan PAS menerima Umno untuk bergabung kerana dasar ini bukan datang daripada Islam.





Wajarlah disedari oleh tokoh agama atau pihak tertentu yang beriya-iya benar untuk mengajak Umno-PAS bergabung supaya merenung, mempelajari dan menyedari mengenai sejarah politik tanah air dan liku-likunya.
Bagaimana sejarah panjang pengkhianatan Umno terhadap kerajaan PAS negeri Kelantan, malah kerajaan PAS Terengganu dulu. Juga bagaimana usaha kerajaan BN hendak mencabar pelaksanaan hukum hudud di Kelantan.
Kita juga belum lupa bagaimana hak royalti minyak Kelantan dinafikan oleh Kerajaan Pusat yang dikuasai Umno-BN dan banyak lagi penganiayaan Umno terhadap PAS dan kerajaannya, di mana senarainya sangat panjang.
Tokoh agama dan masyarakat kononnya sangat berminat menawarkan diri untuk menjadi orang tengah bagi ‘mendamaikan’ kedua-dua parti itu supaya berfikir panjang. Ini kerana usaha mereka itu, walaupun di permukaan kelihatan betul dan baik, dilatari jalan berliku yang dipenuhi jerangkap samar musuh politik PAS untuk memerangkapnya.
Sesungguhnya orang Melayu dalam PAS, malah dalam KeADILan dan DAP adalah orang Melayu yang sah dijamin haknya oleh perlembagaan, sama seperti orang Melayu yang ada dalam Umno.
Haknya sama, statusnya juga sama, cuma berlainan parti politik. Oleh itu kedudukannya sebagai rakyat Malaysia tidak terganggu gugat jika ia memilih parti lain daripada Umno.
Orang Melayu jangan terpedaya dengan dakyah kononnya kuasa dan kedudukan orang Melayu akan tergugat jika bukan Umno memerintah. Ini adalah sebuah khurafat, suatu pendapat yang karut marut ditaja oleh Umno.
Orang Melayu di Kelantan, Kedah, malah Selangor dan Pulau Pinang sama sekali tidak tergugat kedudukan mereka, malah kehidupan mereka jauh lebih baik, walaupun bukan Umno-BN yang memerintah negeri itu.
Oleh itu, pada pendapat saya, walau daripada mana pun ajakan supaya PAS menjalin hubungan dengan Umno atau apa pun istilahnya, itu adalah langkah yang sia-sia.
Orang Melayu hanya akan kembali gagah, berwibawa, memiliki jati diri dan dihormati jika mereka memiliki ilmu, bersungguhsungguh untuk membangun diri dalam pendidikan, ekonomi dan sebagainya serta menerima Islam sepenuhnya dan berpegang teguh dengannya.
Oleh itu lupakanlah hasrat untuk menggabungkan Umno dengan PAS kerana ia jelas dilatari oleh kemahuan politik Umno untuk ‘menelan’ musuh politiknya itu.

Oleh Abd Shukur Harun

Tiada ulasan:

Catat Ulasan